#TahfizMuda: Doa Ibu Bapa Iringi Enam Peserta Ke Final

20 Mei 2016. 12.35 PM
21,629
Salam Muslim
#TahfizMuda: Doa Ibu Bapa Iringi Enam Peserta Ke Final

Mungkin kerana berkat doa ibu bapa masing-masing malam tadi, kesemua enam peserta yang beraksi di peringkat separuh akhir Persada Tahfiz Muda telah diumumkan layak untuk beraksi di final.

Nyata pengumuman yang dibuat oleh hos iaitu Imam Muda Asyraf itu disambut dengan tangisan kegembiraan daripada keenam-enam peserta cilik ini.

Terdahulu, IM Asyraf telah membuat gimik dengan memanggil tiga nama ke depan pentas, prosedur biasa setiap kali tiba waktu penyingkiran di hujung rancangan. 

Nama yang dipanggil pada awalnya ialah Tahfiz Muda Amir, Tahfiz Muda Aqil dan Tahfiz Muda Syadril. 

Namun ketiga-tiga mereka lega apabila diumumkan sebagai peserta yang layak ke final.

Debaran bagaimanapun beralih kepada Tahfiz Muda Iman, Tahfiz Muda Fatimah dan Tahfiz Muda Anas. 

Meskipun masih muda, riak kerisauan dan kekecewaan jelas terpancar di wajah ketiga-tiga mereka yang berdebar pada saat itu kerana turut dipanggil ke depan pentas, menanti nasib mereka diumumkan.

Keadaan bertambah sedih apabila IM Asyraf meminta ibu bapa kepada Iman, Fatimah dan Anas memberi ucapan kepada anak-anak mereka.

Ibu bapa masing-masing kemudiannya menyatakan harapan serta doa untuk mereka layak ke final dan sekiranya gagal, haruslah redha dengan ketentuan Illahi. 

Situasi sedih itu bagaimanapun bertukar gembira apabila IM Asyraf mengumumkan mereka semua layak ke final.

Separuh Akhir berlangsung malam tadi di mana setiap peserta diuji dengan bacaan Al-Quran dan soalan mengenai hukum Tajwid dari juri. 

Tiga orang juri yang bertanggungjawab mengenai permarkahan kesemua peserta ialah ialah Ustaz Zamri, Ustazah Sharifah Khasif dan PU Hafiz.

Persada Akhir Tahfiz Muda akan berlangsung minggu hadapan iaitu pada Khamis, jam 9 malam di Astro Oasis dan Maya HD.

Jangan lupa saksikannya untuk mengetahui siapakah di antara enam orang peserta ini yang bakal bergelar juara.


Artikel Berkaitan


Komen