Jual Tudung Bukan Hanya Untuk Keuntungan - Anzalna Nasir

20 Mei 2016. 4.15 PM
31,438
Hiburan
Jual Tudung Bukan Hanya Untuk Keuntungan - Anzalna Nasir

Pelakon drama bersiri Memori Cinta Suraya, Anzalna Nasir menafikan yang dia mengeluarkan koleksi tudung hanya kerana untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Anzalna melancarkan koleksi tudung Anzel Scarf by Anzalna, kolaborasinya bersama usahawan terkemuka yang juga merupakan pengasas produk D’Herbs, Datuk Aliff Syukri, di Hotel Royal Chulan Damansara pada Khamis.

“Saya berkolaborasi mengeluarkan koleksi tudung bersama dengan Datuk Aliff kerana dia merupakan seorang ahli perniagaan yang berkaliber dan mempunyai pengaruh besar. Dia juga merupakan seorang mentor yang baik dalam bidang perniagaan.

“Terhasilnya Anzel Scarf by Anzalna adalah kerana perniagaan yang melibatkan tudung sememangnya mempunyai banyak permintaan. Namun begitu, saya menjual tudung bukanlah hanya untuk mendapat keuntungan semata-mata.

“Cara jualan koleksi tudung Anzel Scarf adalah menerusi agen dan stokis. Secara tidak langsung, saya dan Datuk Aliff dapat memberi peluang kepada orang lain untuk mendapatkan keuntungan dan mengembangkan perniagaan mereka,” kata Anzalna kepada Astro Gempak.

Dalam perkembangan lain, Anzalna masih lagi berehat dan bakal kembali ke set penggambaran selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Saya ada menolak beberapa tawaran lakonan. Ada produksi yang menawarkan saya untuk menjalani penggambaran pada bulan Ramadan ini, tetapi saya sendiri tak mahu bekerja pada bulan Ramadan kerana saya mahu berehat, melakukan kerja amal dan menyambutnya bersama suami dan keluarga.

“Insya-Allah, selepas sambutan Syawal nanti, saya akan kembali berlakon. Suami pun tidak menghalang saya untuk kekal aktif. Buat masa ini, saya mahu fokus untuk mempromosikan perniagaan koleksi tudung saya,” katanya mengakhiri perbualan.


Artikel Berkaitan


Komen