Kapal Makhluk Asing Terhempas, Alien Berjaya Masuk Dalam Badan Cat Farish

21 Mei 2016. 12.17 AM
13,024
Hiburan
Kapal Makhluk Asing Terhempas, Alien Berjaya Masuk Dalam Badan Cat Farish

Disebabkan sebuah kapal milik tiga makhluk asing terhempas di Janda Baik, salah satu makhluk asing itu berjaya masuk ke dalam badan penyanyi rap Cat Farish.

Babak-babak yang mendebarkan itu adalah antara plot yang terkandung dalam telefilem terbaru berjudul Alien Janda Baik, arahan pengarah muda, Amirul Nasrullah Kamarulzaman yang merupakan protégé kepada Yusry Abdul Halim.

Membariskan nama pelakon seperti Cat Farish, AR Badul, Ben Amir, Mimi Ernida, Luqman Hafidz dan ramai lagi, Alien Janda Baik bakal disiarkan menerusi slot Karya 12 di Astro Citra.

“Alien Janda Baik merupakan telefilem arahan pertama saya dan saya telah diselia oleh Yusry. Cerita ini berkisarkan mengenai kapal milik tiga makhluk asing yang telah terhempas di Janda Baik, Pahang kerana kehabisan minyak.

“Disebabkan oleh kejadian tersebut, tiga makhluk asing itu memasuki badan tiga orang lelaki, yang dijayakan oleh Cat Farish, AR Badul dan Ben Amir. Saya menggabungkan tema sains fiksyen, komedi dan percintaan dalam telefilem ini,” kata Amirul kepada Astro Gempak.

Tambah mahasiswa jurusan Ijazah Sarjana Muda Skrin di Universiti Teknologi MARA ini, dia diberikan kebebasan oleh Yusry untuk mengarahkan sendiri telefilem pertamanya ini.

“Sebelum ini saya ada mengarahkan beberapa filem pendek, video korporat dan muzik video. Ini merupakan pengalaman pertama saya mengarahkan sebuah telefilem yang disiarkan di kaca televisyen. Cabaran yang saya hadapi ialah saya harus mengarahkan skrip yang ditulis oleh orang lain.

“Idea asal datangnya daripada rakan sekampus, Nur Aisyah Sallehuddin dan skrip Alien Janda Baik pula ditulis oleh Yusry. Namun begitu, saya melakukan rombakan skrip sebanyak empat kali dibawah seliaan Yusry untuk membuatkan telefilem ini sesuai dengan hasil kerja saya di dalam skrin nanti.

“Yusry memberikan kepercayaan dan kebebasan untuk saya dalam mengarahkan Alien Janda Baik. Saya merasakan ianya sebagai salah satu tekanan yang berbentuk positif agar saya dapat melaksanakan tugas dengan baik,” katanya lagi.

Jangan lupa saksikan telefilem arahan Amirul Nasrullah Kamarulzaman ini dalam slot Karya 12, malam ini (Sabtu), jam 10.00 malam. Alien Janda Baik disiarkan secara eksklusif di saluran Astro Citra (131) dan Mustika HD (134). Gunakan hashtag #Karya12 #AlienJandaBaik untuk berinteraksi mengenai telefilem ini di laman sosial.




Artikel Berkaitan


Komen