Pelakon Kamal Adli bersama dengan pelawak Tauke Jambu berpakat untuk melaram kereta mewah kepunyaan orang lain.

Mengambil kesempatan untuk menaiki sebuah kereta mewah berjenama Ferrari berwarna merah, Kamal dan Tauke pergi bersiar-siar dengan menaiki kereta itu.

Perkara tersebut merupakan antara plot menarik yang terjadi dalam telefilem arahan Yusry Abdul Halim, Rong Ples Rong Taim yang bakal disiarkan menerusi slot Karya 12.

“Dalam telefilem Rong Ples Rong Taim, saya memegang watak Chi, seorang tukang jockey kereta mewah di sebuah hotel. Saya mempunyai seorang rakan sekerja bernama Bo, lakonan Tauke.

“Kami mengambil kesempatan membawa dan memperaga kereta mewah milik penumpang hotel. Ketika kami sedang bersiar-siar, sebuah kejadian tidak diingini telah berlaku dan bermula dari situlah konflik besar telah terjadi,” kata Kamal.

Selain Kamal dan Tauke, Rong Ples Rong Taim turut dibintangi oleh Chelsia Ng, Bell Ngasri, Chew Kin Wah dan ramai lagi.

Menariknya, telefilem Rong Ples Rong Taim ini turut dibintangi oleh Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia, Ayahanda Abdul Rani Kulup Abdullah yang terkenal dengan tagline ‘Kipidap’.

Jangan lupa saksikan telefilem arahan Yusry Abdul Halim ini dalam slot Karya 12, malam ini (Ahad), jam 10.00 malam. Rong Ples Rog Taim disiarkan secara eksklusif di saluran Astro Citra (131) dan Mustika HD (134).

Gunakan hashtag #Karya12 #RongPlesRongTaim untuk berinteraksi mengenai telefilem ini di laman sosial.