Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh memberitahu selepas empat tahun berehat mereka kembali dengan album terbaru, Jika Sempat.

Menurut Noh tempoh tersebut memberi peluang kepada mereka untuk membuat haluan masing-masing.

“Selepas beberapa tahun bergerak secara produktif, kami rasa agak ‘penat’ untuk lihat wajah masing-masing.

Jadi saya ambil keputusan untuk bergerak secara solo, tetapi ada satu Chemistry dengan Hujan yang buat kami kembali bersatu dengan album baru,” kata Noh kepada Astro Gempak.

Kumpulan Hujan ditemui sewaktu majlis pelancaran album kelima mereka, Jika Sempat di Pejabat Warner Music, Petaling Jaya, Selangor.

Noh berkata,, rindu mereka semakin terasa apabila peminat Hujan iaitu Raingers sering bertanya bila mereka akan kembali bersama.

“Rasanya setiap kali jumpa Raingers mereka akan tanya bila Hujan akan kembali muncul dengan album baru. Malah konsert istimewa #Hujan10Tahun juga idea daripada mereka.

“Alhamdulillah berkat doa daripada peminat, Hujan menghadiahkan album Jika Sempat. Saya sebenarnya sendiri seakan tidak percaya kami kembali bersatu setelah berehat agak lama,” ujarnya.

Tambah Noh lagi, Hujan boleh dianggap sebagai sebuah kumpulan yang bergerak secara spontaneous sejak di awal kemunculan mereka.

“Kami tidak pernah mengimpikan untuk menjadi sebuah kumpulan yang terkenal atau mahu jadi lebih baik daripada yang lain. Hujan sendiri ditubuhkan secara tiba-tiba, tanpa sebarang perancangan pun,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai album terbaru mereka, Jika Sempat menampilkan lagu-lagu yang tidak diguna pakai oleh Hujan sejak 2005.

“Lagu baru dalam album Jika Sempat hanya Pengecut Gila dan Kau sahaja. Saya sendiri tidak jangka AG akan pilih lagu-lagu lama untuk dimuatkan dalam album ini. Rasanya ianya waktu yang bersesuian untuk kami keluarkan kepada peminat yang merindui di awal kemunculan kami dahulu,” katanya.