Peserta Ceria Popstar 2016, Eylia tidak kecewa diumumkan sebagai peserta tersingkir pada konsert separuh akhir Ceria Popstar Jumaat lalu.

Eylia atau nama sebenarnya Eylia Eyre Guntabid, berkata dia percaya banyak lagi peluang menanti memandangkan usianya yang masih muda.

“Saya tak rasa kecewa, sedih itu mungkin ada kerana tak dapat bertemu dengan kawan-kawan seperjuangan.

“Tak apa tersingkir, saya boleh tunggu Akademi Fantasia (AF). Saya percaya ini adalah rencana tuhan terhadap perjalanan nyanyian saya.

“Mungkin ada rezeki saya diluar sana kita tidak tahu, yang penting saya tak akan putus asa dan teruskan perjuangan,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai persembahannya, Eylia mengaku berpuas hati, kerana telah memberikan yang terbaik.

“Walaupun saya tersingkir tapi saya rasa puas hati kerana saya dah berikan yang terbaik untuk persembahan saya.

“Jadi bila tersingkir tu tak ada rasa terkilan, tak semestinyanya bila tak dapat masuk final tandanya kita tidak bagus.

“Ini semuanya bergantung pada rezeki. Selepas ini saya akan terus berlatih vokal untuk memantapkan lagi nyanyian saya sebelum menyertai mana-mana pertandingan,” jelasnya.

Eylia telah menyampaikan lagu Helo yang dipopularkan Adele.

Selain Eylia, pasangan duo adik-beradik, Sistar yang dianggotai oleh Fatma Naslin dan Farhana Naslyn juga diumumkan sebagai peserta tersingkir.

Manakala Hazmil, Jun, Reza dan Aniq berjaya ke peringkat final Ceria Popstar.

Jangan lupa untuk menyaksikan Konsert final Ceria Popstar 2016 bermula jam 9.00 malam hanya di Astro Ceria (saluran 611), Astro Maya HD (saluran 135) dan Astro Prima (saluran 105).