Selepas 2 Tahun Berehat, Nurul Syuhada Kembali Dengan Salam Duha

24 Mei 2016. 3.50 PM
38,116
Hiburan
Selepas 2 Tahun Berehat, Nurul Syuhada Kembali Dengan Salam Duha

Pengacara Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin, 32, kembali tampil sebagai pengacara selepas berehat selama dua tahun.

Mengacarakan rancangan Salam Duha yang disiarkan di Astro Oasis, Nurul kembali dalam bidang penyiaran selepas menumpukan perhatian terhadap keluarga dan anak-anaknya.

“Saya memutuskan untuk berehat seketika selepas melahirkan anak kembar. Dalam tempoh rehat, saya memberikan fokus dalam membesarkan dua putera kembar saya, Raja Abdul Mateen dan Raja Nur Emaan.

"Selepas saya berehat selama dua tahun, saya kembali mewarnai kaca televisyen sebagai pengacara dalam rancangan Salam Duha yang bersiaran setiap Sabtu jam 8.00 pagi di Astro Oasis. Program ini memaparkan aktiviti dan informasi terkini mengenai program atau perkembangan Islamik yang berlaku di Malaysia,” kata Nurul kepada Astro Gempak.

Mendirikan rumah tangga dengan Raja Amir Syah Raja Azwa pada Julai 2011, Nurul mendedahkan dirinya agak kekok ketika memulakan penggambaran Salam Duha.

“Ini merupakan penampilan pertama selepas dua tahun berehat dan ini juga merupakan penampilan pertama saya di stesen Astro. Jika dahulu, saya sering mengandalikan program berbentuk bual bicara, dalam Salam Duha pula, saya beraksi dalam studio yang menggunakan teknik green screen. Agak kekok pada mulanya, tetapi lama-kelamaan, semuanya berjalan lancar,” katanya lagi.

Istimewa sempena Ramadan, program Salam Duha bersiaran setiap Sabtu dan Ahad, jam 8.00 pagi di Astro Oasis.

Kredit Foto: Instagram @nurulsyuhadanurulain


Artikel Berkaitan


Komen