Dikritik Kerana Bawa Perubahan, Hazami Akui Tersilap Langkah

26 Mei 2016. 12.43 PM
12,300
Hiburan
Dikritik Kerana Bawa Perubahan, Hazami Akui Tersilap Langkah

Penyanyi Hazami mengakui pendekatannya untuk mengubah cara nyanyian dan gaya muzik mengikut trend terkini, memberi impak negatif terhadap kerjaya seninya.

Menurut Hazami atau nama sebenarnya Norkamal Hazami Ahmad, akibat daripada itu dia dihentam teruk oleh peminat sendiri yang mempersoalkan perubahan muzik yang cuba dibawakannya.

“Ada peminat tanya mana suara Hazami yang biasa mereka dengar sebelum ini. Pada awalnya saya mengamuk apabila mereka tanya begitu, tetapi apabila dengar balik lagu-lagu tersebut baru saya sedar mengapa peminat beri teguran.

“Ini semua soal karier seni saya, jika salah langkah bagaimana nama Hazami mahu terus ke hadapan,” kata Hazami kepada Astro Gempak.

Hazami ditemui ketika pelancaran single terbarunya Cintai Dia di Jibby East, Kuala Lumpur.

Hazami berkata, dia kembali muncul dengan material yang hampir sama seperti sebelum ini tetapi dengan sedikit perubahan sahaja.

“Rasanya vokal saya tidak sesuai dengan aliran muzik masakini. Peminat lebih selesa dengan vokal dan muzik seperti lagu-lagu Sonata Musim SaljuMungkir Janji dan Kata. Jadi saya kembali dengan single terbaru Cintai Dia yang lebih minimal dari segi susunan muzik tetapi kelebihan dari segi vokal,” ujarnya.

Tambah Hazami lagi, dia tidak kisah sekiranya peminat muzik tempatan menganggap dirinya masih kekal dengan identiti lama dan tiada sebarang pembaharuan.

“Hanya muzik sahaja yang boleh berubah, tetapi vokal masih tetap sama. Sebab pentas saya sangat berbeza dengan penyanyi yang ada sekarang ini. Saya tahu apa kelebihan dan kekuatan saya dalam bidang muzik,” katanya. 

Mengulas lanjut mengenai lagu Cintai Dia, jelas Hazami, ia merupakan salam pengenalan Hazami kepada peminat muzik tanah air.

“Sebelum ini hampir empat tahun lebih identiti Hazami hilang sebab muncul dengan muzik yang sangat berbeza. Cintai Dia mencerminkan siapa Hazami yang sebenarnya yang dikenali dengan kekuatan vokalnya.

“Susunan muzik sedikit berbeza tetapi tidak lari dengan melodi asal sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hazami bakal muncul dengan album ke-lapan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Antara lagu yang bakal dimuatkan dalam album tersebut termasuk Sonata Rindu, Maha dan Cintai Dia.

Cintai Dia dicipta oleh Hazami sendiri dan diedarkan oleh Cloudworks Entertainment.


Artikel Berkaitan