Aqil Dinobat Sebagai Juara Tahfiz Muda Musim Pertama

26 Mei 2016. 7.16 PM
219,010
Salam Muslim
Aqil Dinobat Sebagai Juara Tahfiz Muda Musim Pertama

Tahfiz Muda Aqil atau nama sebenarnya Mohamad Aqil Khair Mohamad Fairos, 11, diumumkan sebagai juara Tahfiz Muda musim pertama.

Peserta berasal dari Perak itu berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000 beserta sebuah trofi. 

Selain itu, Aqil turut memenangi hadiah berupa pakej Umrah untuk dua orang hasil sumbangan penaja.

Dalam persaingan peringkat akhir ini, Aqil telah mengalunkan bacaan ayat Al-Quran dari surah Al-Insyiqaq dan berjaya memberi jawapan yang tepat kepada juri mengenai hukum tajwid.

Naib Juara menjadi milik Tahfiz Muda Fatimah, atau Fatimah Azzahra Bukhari, 12, yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM7,000 beserta trofi.

Fatimah telah mengalunkan bacaan dari Surah Al-Mutaffifin.

Tempat ketiga pula dimenangi Tahfiz Muda Syadril atau nama sebenarnya Muhammad Syadril Idham Sable, 11, yang mengalunkan bacaan Surah Al-Infithar, membawa pulang wang tunai RM5,000 dan sebuah trofi.

Menariknya ketiga-tiga pemenang utama Tahfiz Muda ini berasal dari Perak.

Tempat keempat dimiliki Tahfiz Muda Amir yang memenangi wang tunai RM3,000 beserta trofi.

Manakala tempat kelima dan keenam, masing-masing menjadi milik Tahfiz Muda Anas dan Iman yang membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta trofi.

Hadiah disampaikan oleh Pengurus Saluran Astro Oasis, Ustaz Ahmad Fuad Mat Ali.

Sementara itu pengumuman pemenang dibuat Iman Muda Ashraf.

Kesemua finalis ini telah diadili oleh PU Hafiz sebagai Hakim Hafazan, Ustaz Zamri sebagai Hakim Tajwid, Ustazah Sharifah Khasif sebagai Hakim Tarranum/Kreativiti dan Ustaz Don Daniyal selaku Mursyid dan juga hakim jemputan.

Penyanyi Mawi serta PU Rahmat muncul sebagai artis jemputan untuk membuat persembahan di awal rancangan.

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang.


Artikel Berkaitan


Komen