Juara Ceria Popstar 2016, Jun, 14, mengalirkan air mata apabila teringat kepayahan ibu ketika membawanya ke uji bakat program tersebut.

Menurut Jun atau nama sebenarnya Siti Junaidah Bekri, pelbagai ikthiar dilakukan ibunya untuk memastikan dia terpilih menyertai program Ceria Popstar 2016.

“Sewaktu nama saya diumumkan sebagai juara, terus mengalir air mata kerana teringat pada ibu yang telah bersusah payah untuk bawa saya ke ujibakat Ceria Popstar.

“Ibu sanggup pangku saya selama lapan jam dengan menaiki bas dari Tawau ke Kota Kinabalu (KK). Kami bertolak malam dan tiba di KK jam lima pagi. Sementara menunggu hari siang, saya dan ibu sempat tidur di perhentian bas.

“Mujur ada ibu saudara yang tinggal di KK dan Alhamdulillah, dialah yang bantu kami untuk ke tempat sesi ujibakat,” kata Jun kepada Astro Gempak.

Tambah Jun, dia tidak menyangka berjaya bergelar juara Ceria Popstar 2016 memandangkan finalis yang lain memiliki kelebihan vokal dan populariti.

“Seakan bermimpi apabila nama saya diumumkan sebagai juara. Paling penting, saya berjaya buat ibu bangga dan segala usahanya kini sudah terbalas,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Jun, dia masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk menggunakan wang kemenangan sebanyak RM23,000 yang dimenangi, sebaliknya menyerahkan keputusan tersebut di tangan ibunya.

“Semua duit kemenangan saya akan serahkan kepada ibu. Biar dia yang fikirkan apa yang patut lakukan, Mungkin boleh digunakan untuk keperluan keluarga memandangkan saya mempunyai 12 orang adik-beradik,” jelasnya.

Jun yang membawakan dua buah lagu iaitu Sesal Separuh Nyawa dan Bahtera Merdeka di Konsert Kemuncak Ceria Popstar 2016 berjaya membawa pulang wang tunai RM20, 000 beserta trofi.

Lebih manis, dia turut diumumkan sebagai pemenang bagi Anugerah Bintang Genius tajaan Qu Puteh IQ Genius sekaligus menerima wang tunai berjumlah RM3,000.

Konsert Kemuncak Ceria Popstar 2016 bersiaran secara langsung di Studio Finas, Selangor bermula jam 9 malam di saluran Astro Ceria (611) dan Maya HD (135).