Selepas Dipukul, Ika Nabella Tidak Berdendam Dengan Azma Aizal Yusoof

31 Mei 2016. 12.37 AM
31,609
Hiburan
Selepas Dipukul, Ika Nabella Tidak Berdendam Dengan Azma Aizal Yusoof

Aktres Ika Nabella, 27, bersedia untuk menjalin kerjasama dengan pengarah dan pelakon Azma Aizal Yusoof jika diberikan kesempatan.

Sebelum ini, Azma bertindak memukul Ika di lokasi penggambaran drama Dawai Asmara di Hulu Klang pada 2 November tahun lalu. Azma mengaku bersalah atas tindakan tersebut.

“Jika selepas ini ada peluang untuk kami bekerja semula, saya okay sahaja. Saya bersikap profesional dan tidak menyimpan sebarang dendam terhadap dirinya.

“Namun begitu, selepas kejadian tersebut, saya tidak pernah lagi berjumpa atau terserempak dengan dia. Sebelum ini, dia pernah menghantar mesej meminta maaf dan saya cuma membalas ‘it’s okay’ sahaja,” kata Ika.

Dalam pada itu, Ika kini sedang giat mengadakan persiapan untuk majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung selepas sambutan Syawal.

Ika selamat bertunang dengan seorang ahli perniagaan, Muhammad Zaid, 29, pada 14 Mei lalu. Majlis diadakan secara sederhana di kediaman Ika di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

“Alhamdulillah, persiapan perkahwinan saya sudah 80 peratus selesai.Tarikh pernikahan masih belum diputuskan tetapi kami dijangka akan berkahwin pada Julai ini, selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Pada mulanya, saya tak mahu bertunang, saya mahu teruskan dengan majlis pernikahan tetapi memandangkan saya merupakan anak perempuan tunggal dalam keluarga, mereka mahu saya melalui proses pertunangan sebelum bernikah,” kata Ika ketika ditemui di majlis pelancaran Amyssrite Hairdresing yang terletak di Jalan Mamanda 7, Taman Dato Ahmad Razali, Ampang.

Selain Ika, beberapa pelakon jelita lain seperti Diana Danielle, Nad Zainal, Adiba Yunus dan Ruhainies turut menyerikan majlis pelancaran tersebut.




Artikel Berkaitan


Komen