Pelakon Ruhainies menjelaskan, kontroversi di antara dirinya dengan aktres Janna Nick tidak menjejaskan tawaran lakonan yang datang kepadanya sebagai seorang bakat baru.

“Setakat ini, kerjaya saya dalam bidang seni berjalan seperti biasa. Kalau boleh, saya enggan lagi menoleh ke belakang dengan mengenang kontroversi yang lepas bersama Janna.

“Saya mahu buka lembaran baru kerana saya tidak mahu lagi terkait dengan isu panas dan kontroversi. Jika selepas ini ada tawaran yang membabitkan saya dan Janna, saya bersedia untuk menerimanya dan bersikap professional,” kata Ruhainies.

Tidak mahu namanya naik kerana isu panas dan kontroversi, Ruhainies ingin meningkatkan mutu lakonan agar peminat boleh menilai bakatnya dalam bidang hiburan.

“Saya tidak mahu nama saya naik kerana kontroversi. Saya rasakan perkara itu kurang baik untuk pelakon baru seperti saya. Saya mahu nama saya dikenali atas perkara yang baik-baik seperti mutu lakonan, menerima anugerah dan sebagainya,” katanya.

Menafikan sedang rapat dengan pengacara Hefny Sahad, Ruhainies mengakui yang dia berstatus solo dan mahu menumpukan fokusnya terhadap bidang hiburan.

“Saya dan Hefny cuma kawan sahaja. Mungkin orang keliru kerana saya selalu digandingkan bersama Hefny ketika sesi penggambaran. Saya tidak menjalin hubungan cinta dengan sesiapa sekarang ini.

“Saya mahu menggunakan masa muda saya dengan berusaha untuk mencari rezeki dan menyerlahkan lagi bakat dalam bidang lakonan,” kata Ruhainies yang ditemui di majlis pelancaran Amyssrite Hairdresing yang terletak di Jalan Mamanda 7, Taman Dato Ahmad Razali, Ampang.

Selain Ruhainies, beberapa pelakon jelita lain seperti Diana Danielle, Nad Zainal, Adiba Yunus dan Ika Nabella turut menyerikan majlis pelancaran tersebut.