Sering Berjauhan, Isteri iR Radzi Letak Syarat

1 Jun 2016. 2.51 PM
14,464
Hiburan
Sering Berjauhan, Isteri iR Radzi Letak Syarat

Penyanyi iR Radzi, 33, mengakui isterinya ada meletakkan syarat-syarat tertentu memandangkan mereka sering berjauhan.

Namun menurut iR Radzi atau nama sebenarnya Mohamad Shah Riadzi, dia tidak pernah menganggap perkara tersebut sebagai sesuatu yang harus dipandang remeh.

“Memang saya banyak menghabiskan waktu bekerja di Semenanjung, berbanding Sarawak.  Jadi tak dinafikan isteri ada perasaan cemburu dan risau lebih-lebih lagi status saya sebagai seorang penyanyi.

“Tambahan pula isteri sepuluh tahun lebih muda daripada saya. Kami berdua banyak bertolak ansur dan cuba bersikap untuk memahami antara satu sama lain,” kata ir Radzi kepada Astro Gempak.

iR Radzi ditemui sewaktu majlis pelancaran single terbarunya, Stay, di Jibby East, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, jelas iR Radzi dia tidak pernah mengambil sebarang kesempatan sekiranya berjauhan dengan isteri.

“Sejujurnya saya tidak pernah suka-suka langgar sebarang syarat yang ditetapkan oleh isteri sebelum ini. Pada awalnya ada juga sedikit perbalahan, tetapi Alhamdulillah lama-kelamaan dia semakin memahami kerjaya saya sebagai seorang penyanyi,” ujarnya.

Tambah iR Radzi, hubungan dengan isteri semakin bahagia selepas kehadiran anak lelaki mereka, Mohamad Zayn Mikael yang kini berusia lima bulan.

“Saya baru faham perasaan ibu bapa kita apabila membesarkan anak-anak. Bila Mika ada, hubungan saya dan isteri makin bahagia dan perasaan rindu itu makin menebal. Saya juga lebih menghargai tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga dan bapa,” jelas iR Radzi lagi.

Dalam pada itu, iR Radzi menjelaskan dia kini cuba menukar personalitinya daripada seorang pemalu kepada lebih peramah dan berani sekiranya mahu mengembangkan karier nyanyiannya.

“Mungkin saya agak lewat muncul dalam industri seni tanah air walaupun telah bekerja dibelakang tabir agak lama juga. Sebenarnya saya kena buang sikap malu untuk pergi lebih jauh. Tapi rasanya kemunculan saya tepat atau revelan pada waktunya,” kata iR Radzi.

Mengulas lanjut mengenai lagu terbarunya, Stay, lagu tersebut dirakamkan secara kebetulan sewaktu bercuti di Indonesia.

“Lagu Stay saya rakam secara tidak sengaja waktu lawat studio rakaman seorang kenalan di Indonesia. Pada awalnya secara suka-suka suruh dengar sample lagu ciptaan saya sendiri, tak sangka dia terus ajak pelawa untuk rakam di studio miliknya.

Stay sedikit berbeza dengan Sempurna Waktu kerana lebih fast dan catchy. Saya mahu cuba sesuatu yang baru dan sedikit kelainan kepada peminat muzik tempatan," katanya. 


Artikel Berkaitan


Komen