Fimie Don Tumbuk Muka Eric Teng

4 Jun 2016. 10.36 AM
67,364
Hiburan
Fimie Don Tumbuk Muka Eric Teng

Aktor yang mencipta nama menerusi filem Ola Bola, Eric Teng ditumbuk di bahagian muka oleh pelakon cilik yang kini meningkat dewasa, Fimie Don.

Jangan salah sangka kerana adegan pergaduhan itu hanyalah babak dalam telefilem arahan pengarah muda Syahrin Zainurin, protégé kepada sutradara Osman Ali.

“Telefilem Balapan dibintangi oleh Fikhree Bakar, Fimie Don, Eric Teng, Mugen Rao dan Mohd Fadhli Masoot. Saya telah memilih cerita tersebut kerana bagi saya, naskahnya sangat istimewa. Balapan mengangkat tema persahabatan dan perjuangan di kalangan remaja zaman kini.

“Jika dibandingkan dengan naskah-naskah lain yang pernah ada sebelum ini, tema persahabatan dan perjuangan di kalangan remaja jarang digarap dan ditampilkan di kaca televisyen. Jadi, saya sendiri rasa rugi kalau protégé saya tidak mengarahkan naskah ini,” kata Osman.

Menjadi mentor kepada Syahrin yang merupakan seorang mahasiswa Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Osman melihat ini sebagai peluang keemasan untuk menonjolkan sesuatu yang segar dalam bidang pengarahan.

“Sebelum ini juga saya seorang pelajar di Akademi Filem Malaysia, jadi saya merasakan yang peluang ini sangat istimewa kepada pelajar zaman sekarang. Jika dahulu, saya melalui kepayahan ketika mahu memperkenalkan nama saya.

“Kini dengan adanya Karya 12, ianya dapat menggalakkan pelajar yang mempunyai asas dalam bidang perfileman untuk berkarya. Ini merupakan satu peluang yang sangat baik untuk mencungkil bakat baru dalam bidang pengarahan,” katanya lagi.

Jangan lupa untuk menyaksikan telefilem Balapan arahan Syahrin Zainurin yang menampilkan pelakon-pelakon seperti Fikhree Bakar, Fimie Don, Eric Teng, Mugen Rao, Mohd Fadhli Masoot dan ramai lagi.

Balapan bersiaran dalam slot Karya 12, malam ini (Sabtu), jam 10.00 malam, secara eksklusif di saluran Astro Citra (131) dan Mustika HD (134). Gunakan hashtag #Karya12 #Balapan untuk berinteraksi mengenai telefilem ini di laman sosial.


Artikel Berkaitan