Pada 10 Jun lalu Astro Gempak telah menjalin kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), Muslim Volunteer Malaysia (MVM) untuk projek #ramadangempak yang pertama.

Program Berbuka Puasa MVM bertemakan 'Menceriakan Hatimu' merupakan kolaborasi pertama Astro Gempak mengadakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) pertama sempena Ramadan.

Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, (Astro Gempak), Nor Azlina Zakaria, kolaborasi bersama MVM menerusi majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari PEYAKIN dan Haluan Penyayang, bersesuaian dengan tema #BerikanMasa Astro yang dilancarkan baru-baru ini.

“Di atas keprihatinan kami dalam menyambut kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak, Astro Gempak terpanggil untuk mengadakan CSR dengan #ramadangempak.

"Kami berbesar hati apabila MVM sudi untuk bekerjasama dan selepas beberapa perbincangan dijalankan, mereka bersetuju melantik kami sebagai media rasmi," katanya.

Tambah Azlina, Astro Gempak bukan sekadar portal yang menyalurkan berita hiburan tempatan semata-mata, tetapi turut mencari peluang untuk mengadakan kerja amal yang boleh memberi manfaat kepada mereka diluar sana.

“#BerikanMasa sendiri memberi maksud yang mendalam buat diri kita untuk sama-sama menghargai setiap detik bersama orang yang tersayang lebih-lebih lagi ketika menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.

“Bukan sekadar kepada ahli keluarga atau orang terdekat dengan kita, malah golongan yang kurang bernasib baik juga perlu diberi perhatian supaya mereka tidak merasa tersisih.

"Projek #ramadangempak yang pertama ini berjaya mencapai objektif selari dengan tema program anjuran MVM bertemakan 'Menceriakan Harimu' dan hashtag #berikanmasa #ramadanbersamamvm yang digunakan.

"Kami berharap program CSR #ramadangempak akan berterusan dengan program-program berbeza setiap Ramadan," ujarnya ketika ditemui selepas perasmian Majlis Berbuka Puasa MVM Bersama Anak-Anak Yatim, pada Jumaat.

Sementara itu Presiden MVM, Muhammad Jantan berkata, kerja amal dan kebajikan tidak tertumpu kepada anak-anak yatim sahaja di bulan Ramadan sebaliknya pelbagai aktiviti telah dirancang rapi.

“Bukan hanya meraikan anak-anak yatim, pihak MVM turut menjayakan beberapa siri program seperti Pureheart Edisi Ramadan yang mana kami cuba meringkan beban warga Malaysia yang terpilih untuk meneruskan kehidupan harian mereka.

“Serta projek dodol yang menyasarkan untuk memberi sedekah kepada hampir 600 pek dodol di sekitar masjid dan surau di sekitar Shah Alam. Semua aktiviti ini memberi peluang kepada mereka diluar sana merasai keseronokan makna sebenar sambutan bulan Ramadan Al-Mubarak.

“Kami juga berharap lebih ramai pihak persatuan, kelab atau agensi-agensi besar seperti Astro Gempak sudi menjalinkan kerjasama atau menghulurkan bantuan untuk memberi manfaat berguna kepada masyarakat yang tidak bernasib baik diluar sana,” katanya.

Majlis tersebut yang melibatkan 80 anak yatim telah diadakan di Restoran Al Rawsha, Seksyen 7, Shah Alam Selangor.

Selebriti tempatan seperti Datuk Rafiena Ezanee, Awi Rafael, Payslip, Ewal AF turut bersama-sama memeriahkan majlis dan beramah mesra bersama penghuni rumah anak yatim PEYAKIN dan Haluan Penyayang.

Program ini turut menerima tajaan daripada Dark Waves Pictures, Prokuya Studios Sdn Bhd, Rhythm Production, Star Trading Sdn Bhd serta sumbangan individu daripada orang ramai untuk disalurkan kepada anak-anak yatim dan tabung kebajikan MVM.

Turut menaja program ini ialah Astro Shaw, Mu’min Peneraju Ubat Gigi Halal dan Yeos.