Ramadan Tahun Ini Paling Mencabar - Datuk Rafiena Ezanee

13 Jun 2016. 4.35 PM
46,835
Hiburan
Ramadan Tahun Ini Paling Mencabar - Datuk Rafiena Ezanee

Penerbit dan usahawan Datuk Rafiena Ezanee menyifatkan kedatangan bulan Ramadan tahun ini sebagai bulan yang sangat mencabar.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberikan kesempatan sekali lagi untuk menyambut bulan yang mulia ini. Ramadan merupakan bulan yang ditunggu-tunggu kerana ia memberikan seribu keberkatan.

“Namun begitu, Ramadan tahun ini agak mencabar bagi saya kerana kesibukan yang dihadapi berbeza berbanding bulan-bulan biasa.

“Selain menerbitkan banyak produk untuk disiarkan di kaca televisyen untuk tontonan sepanjang Ramadan dan Syawal, saya juga cuba memberikan masa untuk sama-sama menyambut Ramadan dengan keluarga. Pada waktu yang sama, saya turut memberikan fokus kepada perniagaan House of DRE yang diusahakan.

“Saya sangat bersyukur kerana walaupun sibuk dan mempunyai jadual yang agak padat, semuanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan,” kata Rafiena yang ditemui di majlis iftar anak yatim anjuran Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dengan kerjasama portal Astro Gempak di Restoran Al-Rawsha, Shah Alam, Selangor.

Dalam pada itu, Rafiena juga turut berkongsi rezeki dengan menaja meja bagi majlis iftar anak yatim yang dihadiri oleh 80 orang anak-anak dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim / Anak Miskin Klang (PEYAKIN) dan Asrama Haluan Penyayang Shah Alam.

“Sepatutnya saya tidak dapat menyertai majlis iftar ini kerana ada perancangan lain yang sudah direncana terlebih dahulu. Namun begitu, saya mengambil keputusan menyertai acara kolaborasi MVM bersama Astro Gempak ini kerana mahu berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” katanya lagi.

Drama terbitan Rafiena, Assalamualaikum Cinta lakonan Ayda Jebat, Emma Maembong, Kamal Adli, Saharul Ridzwan dan ramai lagi kini bersiaran di Astro Ria dan Astro Ria HD setiap Isnin hingga Khamis jam 10.00 malam.


Artikel Berkaitan


Komen