Ikon fesyen Wak Doyok menjelaskan hubungannya dengan bekas personaliti TV, Azrinaz Mazhar Hakim hanyalah sekadar teman rapat.

“Secara jujurnya saya dan dia hanya berkawan dan dia merupakan sahabat saya yang paling rapat.

“Saya selesa dengan dia, lagipun kami berdua mempunyai minat yang sama dalam bidang fesyen. Kami sering juga sering berbual dan bertukar-tukar pendapat mengenai bidang tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran tudung Warisan Dayang bertempat di Hotel Shangri La, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor, 35, tidak menolak sekiranya wanita itu adalah jodoh yang ditentukan tuhan untuk dirinya.

“Hubungan kami tidak lebih sekadar kawan, dia bukan orang sebarangan jika nak dibandingkan dengan saya ini apalah sangat.

“Saya rasa tak salah pun untuk kami berkawan memandangkan masing-masing masih belum berpunya.

“Dia baik dengan saya jadi saya pun baik dengan dia, cuma kalau ditakdirkan ada jodoh kami bersama tunggu sajalah kad jemputan sampai,” selorohnya.

Terdahulu, spekulasi mengenai hubungan mereka timbul apabila Wak Doyok dan Azrinaz sering dilihat mengahadiri majlis bersama.

Dalam perkembangan lain, Wak Doyok telah menerima jemputan temuramah di beberapa stesen televisyen Indonesia dan akan berangkat ke negara itu dalam masa terdekat.

Selain itu, Wak Doyok juga bakal membuka cawangan kedai gunting rambut di Jepun bersama seorang rakan kongsi di sana.