Penyanyi Ikut Trend Muzik Masakini Tak Mampu Bertahan Lama – Slam

16 Jun 2016. 2.43 PM
10,276
Hiburan
Penyanyi Ikut Trend Muzik Masakini Tak Mampu Bertahan Lama – Slam

Kumpulan Pop 90-an, Slam tidak berhasrat untuk menghasilkan lagu terbaru mengikut trend muzik masakini.

Menurut gitaris Slam, Shah, kebanyakan penyanyi yang mengikut trend muzik terkini tidak mampu bertahan lama dalam industri seni tanah air.

“Kumpulan Slam tidak merancang untuk hasilkan lagu mengikut trend muzik masa kini walaupun ia mendapat perhatian dan mampu menarik para pendengar muzik tempatan.

“Tetapi kalau kita lihat, artis yang ikut trend muzik ini selalunya tidak mampu bertahan lama dan paling kuat pun dua tahun sahaja. Pada pendapat saya, ia tidak relevan terutamanya apabila melibatkan bidang muzik.

“Kekuatan muzik sebenarnya terletak pada vokal penyanyi dan lirik,” kata Shah kepada Astro Gempak sewaktu majlis sidang media Konsert Dua Dekat Slam Kembali Terjalin Bersama DMS360 di Restoran Saloma Bistro.

Slam diminta mengulas lebih lanjut mengenai hala tuju muzik mereka selepas merancang untuk mengeluarkan single terbaru mereka selepas Hari Raya Aidilfitri.

Jelas Shah, mereka masih dalam perancangan untuk mengeluarkan single terbaru mereka dan menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan kelak.

“Kami jangkakan untuk siapkan single tersebut sebelum berlangsungnya Konsert Dua Dekat nanti di Pasir Gudang, Johor. Tetapi masih belum lagi buat perbincangan lebih lanjut mengenai perkara ini.

“Kami perlu lalui proses pemilihan melodi terlebih dahulu sebelum digabungkan dengan lirik yang bersesuaian,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai Konsert Dua Dekat Slam Kembali Terjalin, kumpulan Slam menjanjikan persembahan yang luar biasa dengan susunan muzik lebih berbeza selain vokal Zamani yang lebih mantap.

“Kalau kita lihat konsert di Pasir Gudang ini nanti mungkin bukan berskala besar seperti Konsert Kurnia Slam 2016 yang diadakan baru-baru ini. Dijangka hampir empat ribu orang boleh dimuatkan dalam satu masa sahaja.

“Tetapi apa yang boleh kami beri jaminan ialah dari segi teknikal seperti sususan lagu, pengcahayaan pentas  dan paling penting vokal Zamani yang tidak akan mengecewakan para peminat Slam. Kami mahu peminat yang hadir rasa dihargai lebih-lebih lagi mereka keluar duit poket sendiri untuk beli tiket konsert,” kata Slam mengakhiri perbualan.

Konsert Dua Dekat Slam Kembali Terjalin Bersama DMS360 bakal diadakan pada 3 September 2016 di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor bermula jam 8.30 malam.

Tiket-tiket konsert dijual bermula dengan harga daripada RM73 sehingga RM353 di www.ilassotickets.com

Layari www.facebook.com/slamkembaliterjalin untukmaklumat lanjut dan perkembangan terkini Konsert Dua Dekat Slam Kembali Terjalin Bersama DMS360.


Artikel Berkaitan


Komen