Sherry Al-Hadad Tahan Sebak Bertemu Kanak-Kanak Pesakit Kanser

17 Jun 2016. 2.36 PM
24,067
Hiburan
Sherry Al-Hadad Tahan Sebak Bertemu Kanak-Kanak Pesakit Kanser
Pelakon dan pengacara Sherry Al-Hadad menahan rasa sebak ketika melawat kanak-kanak pesakit kanser di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.

Lawatan Sherry bersama sukarelawan program Sempoi IFTAR 2016 bersama PAKNITA adalah untuk beramah-mesra disamping memberi sumbangan kepada 30 pesakit kanser di wad tersebut.


“Sebaik kaki melangkah masuk ke wad, saya tetapkan hati supaya air mata tidak tumpah. Ketika memasuki bilik pertama, saya hampir ‘tewas’ ketika melihat seorang bayi perempuan berusia 6 bulan penghidap Leukimia, di pangkuan ibunya.

“Namun, saya cekalkan hati kerana tujuan saya bertemu mereka adalah untuk menceriakan hari mereka. Kalau saya menangis, nanti mereka akan turut bersedih.

“Kalau nak diikutkan perasaan, saya memang akan menangis sebab saya ni cengeng orangnya. Tetapi, saya perlu kuat demi mereka,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Sherry, pengalaman di wad kanser telah mengajar banyak perkara kepada dirinya, walaupun hanya beberapa jam berada di sana.


“Satu perasaan sukar digambarkan sepanjang berada di wad bersama bayi dan kanak-kanak itu. Bersyukurlah kita dilahirkan sihat dan jika kita fikir kita susah ada yang lebih susah dari kita.

“Saya akhirnya menangis dalam kereta apabila terkenang  momen bersama anak-anak comel di wad,” ujarnya.

Hos program Akak-Akak Sangat ini turut ke Saloma Bistro untuk majlis berbuka puasa bersama 50 orang anak-anak yatim Rumah Tunas HarapanTengku Ampuan Rahimah, Kuala Selangor.


“Saya dapat tahu, kawan-kawan artis lain iaitu Zahid AF, Ariel AF, Awi Rafael dan Mal Imran bersama anak-anak yatim pergi membeli-belah baju raya di Seherish Boutique di Plaza City One.

“Saya dapat rasakan perasaan gembira kanak-kanak tersebut kerana saya juga anak yatim dan bukan orang senang.

“Apatah lagi berpuasa tanpa bapa atau ibu. Saya pernah berada di tempat mereka. Saya tahu perasaan sedih berpuasa dan beraya tanpa bapa atau ibu. Saya kehilangan bapa ketika berusia 9 tahun  dan sehingga hari ini saya pasti sedih apabila teringatkan dia,” katanya sebak.


Dalam pada itu Sherry turut mengulas mengenai aktiviti seninya sepanjang Ramadan.

“Bulan Ramadan, aktiviti seni memang  saya hadkan kerana ini sahaja masa ‘panjang’ yang saya ada untuk bersama ibu di rumah.

“Kalau ada pun, rakaman dan sesi fotografi raya. Tetapi kalau ada tawaran untuk menyertai aktiviti tanggungjawab sosial (CSR) seperti ini saya akan terima kerana inilah cara saya untuk #berikanmasa berbakti kepada masyarakat. Tak dapat bagi banyak, saya lakukan setakat yang termampu.

“Dari dulu lagi saya teringin nak buat kerja amal begini, cuma tiada kesempatan dari segi masa, duit. Sekarang ada rezeki sikit apalah salahnya,” kongsinya.

Sementara itu Pengarah Projek Sempoi IFTAR 2016, dari Sempoi Charity, Mike Manicka berkata, dia sangat berbesar hati kerana banyak pihak yang sudi bekerjasama menjayakan projek ini.

“Saya amat berterima kasih kepada Omar Shah Briyani kerana telah menaja makanan kepada kanak-kanak di wad kanser Institut Pediatrik HKL, Saloma Bistro yang juga menaja majlis berbuka puasa bersama 50 anak-anak Rumah Tunas HarapanTengku Ampuan Rahimah, Kuala Selangor,  Seherish Boutique yang sudi memberi anak-anak yatim baju raya tahun ini, PAKNITA, Kota Buku serta orang ramai yang telah memberi sumbangan kepada kami.

“Terima kasih juga kepada 35 sukarelawan Sempoi IFTAR 2016 kerana telah menjayakan program ini dan membantu mendapatkan sumbangan sebanyak RM10,000 daripada orang ramai untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

“Kami juga telah merancang beberapa program lain selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan berharap agar kerja-kerja amal seperti ini akan berterusan dan terus mendapat sokongan,” katanya.


Artikel Berkaitan


Komen