Vokalis kumpulan rock lagenda Search, Amy mengembangkan perniagaannya menerusi Amy Search General Products & Co.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abd Rahman, 58, berkata, perancangan untuk mempunyai rangkaian fesyen dengan jenama sendiri sudah dirancang sejak enam tahun lalu.

"Saya sudah lama impikan pakaian dengan jenama sendiri, cuma belum ada kesempatan untuk melaksanakannya.

"Produk saya sendiri sudah bermula sejak dua tahun lalu dengan menjual Songkok Maulana dan saya lihat produk keluaran 'Amy Search' diterima ramai dan ada potensi untuk dikembangkan.

"Bermula dari situ, saya 'set-up team' dan keluarkan Kurta, Jubah dan Kebarung di bawah jenama Amy Search General Products & Co," katanya kepada Astro Gempak.

Selain itu, Amy turut berharap agar jenamanya akan terus mendapat tempat di hati peminat dan pasarannya tidak terhad pada Ramadan sahaja.

"Ada sebab saya gunakan nama tersebut untuk label fesyen saya. Kalau boleh saya mahu keluarkan pakaian yang sesuai dengan citarasa Amy dan peminat.

"Setakat ini, sepanjang dua minggu beroperasi di Publika permintaan sangat baik dan kita dah 'reproduce' jubah, kurta serta kebarung sebanyak tiga kali," ujarnya.

Dalam pada itu Amy turut berkongsi akan sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan produk masakannya sendiri tidak lama lagi.

"Rasanya semua peminat dah tahu saya suka memasak, Insha-Allah saya akan keluar produk masakan sendiri tidak lama lagi," katanya.

Koleksi Amy Search General Products & Co, boleh didapati di Rumi, Publika Solaris Dutamas dan akan dijual secara online tidak lama lagi.

"Kami juga sudah merancang untuk mengembangkan pasaran koleksi kami di 'show room', Denai Alam dan melantik agen serta stokis untuk meluaskan empayar jenama ini," katanya.