Sama seperti tahun sebelumnya, pelakon Nora Danish akui perkara wajib setiap Aidilfitri adalah beraya di rumah bekas mertuanya, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Nora berkata, walaupun tidak lagi mempunyai hubungan dengan keluarga tersebut namun ikatan persaudaraan antara anaknya, Putera Rayqal, 6, bersama datuk dan neneknya tidak perlu diputuskan.

“Biasanya malam Raya dan Raya pertama saya akan berada di rumah bekas mak mertua kerana Rayqal berada di sana.

“Setiap tahun perkara itu memang diwajibkan kepada Rayqal sebagai cucu pertama dalam keluarga tersebut perlu ada bersama datuk dan neneknya untuk berkumpul dengan cucu-cucu yang lain sempena Aidilfitri.

“Jikalau saya tak ikut sama bermakna saya kena berpisah dengan anak di Hari Raya di mana perkara itu sangat mustahil.

“Walaupun saya dah tak ada hubungan dengan keluarga tersebut, tak salah rasanya untuk beraya di sana kerana niat itu lebih penting.

“Takkan nak putuskan hubungan Rayqal dengan datuk dan neneknya kan?

Lagipun saya dah anggap mereka sebagai ibu bapa saya sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Jurassic World versi Bahasa Melayu yang diadakan Le Meridien Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Nora juga turut mengulas mengenai kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya hanya kerana dia beraya di rumah bekas mertuanya.

“Kita beraya dengan niat yang baik tapi bila niat itu disalah ertikan oleh segelintir pihak itu perkara biasa.

“Bagi saya mungkin mereka yang memberikan komen-komen negatif itu belum pernah mempunyai keluarga dan tidak berada dalam situasi saya.

“Sepatutnya kalau lihat dari sudut berbeza lebih perit untuk diri saya sebenarnya kerana saya dah tak ada apa-apa hubungan.

“Tapi saya anggap itu sebagai satu perkara positif, saya pergi pun dengan niat nak bersama dengan anak di Hari Raya.

“Tak mungkin saya nak cakap Rayqal pegi beraya seorang dekat sana dan ‘mummy’ pegi Raya dekat sini. Memang tak lah. Dia pun nak beraya dengan datuk dan neneknya.

“Saya pun dah lali dengan kata-kata orang, jadi saya ambil pendekatan untuk pedulikan apa kata orang kerana mereka tidak berada dalam situasi kita.

“Mereka tak membesarkan saya, mereka tak tahu cerita saya. Yang bagi kasih sayang pada saya adalah keluarga saya yang terdekat inilah. Itu yang lebih saya utamakan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Nora kini sibuk menguruskan dua cawangan baru kafenya, Kopi & XOXO bertempat di Bangi dan Taman Tun Dr Ismail.