Penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza bersyukur kerana mendapat peluang untuk menunaikan ibadah Umrah pada bulan Ramadan tahun ini.

"Alhamdulillah, tahun ini saya mendapat peluang untuk menunaikan Umrah di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. Insya-Allah, saya bakal berangkat ke Tanah Suci pada 25 Jun ini dan pulang semula di Malaysia pada 4 Julai, dua hari sebelum sambutan Hari Raya.

"Selepas bergelar isteri, menjadi impian saya untuk menunaikan ibadah Umrah pada setiap kali tibanya bulan Ramadan. Tahun ini saya sekali lagi diberi kesempatan untuk menjadi tetamu Allah.

"Saya mahu mengambil peluang untuk fokus terhadap ibadah yang bakal dilakukan di Tanah Suci disamping merasai keberkatan bulan mulia ini," kata Siti ketika ditemui di Majlis Sesi Menandatangani Perjanjian Rasmi Air I-Mizu pada Khamis.

Air I-Mizu ini merupakan minuman kesihatan standard premium yang dihasilkan pada gabungan mineral terbaik dari Jepun. Syarikat milik Siti, Siti Nurhaliza Production (SNP) menjadi rakan promosi untuk produk I-Mizu ini.

"SNP akan bertanggungjawab untuk memperkenalkan dan mempromosikan I-Mizu dari pelbagai platform. Saya sendiri menggunakan produk minuman ini.

"Bermula Mac lalu, saya telah mula merasakan keberkesanan produk ini. Ketika itu saya sedang sibuk menjalani latihan bagi persiapan Konsert Siti Nurhaliza and Friends. Sepanjang latihan, saya tidak mudah penat dan saya dapat merasakan kesegaran tubuh badan apabila mengamalkan I-Mizu," katanya lagi.

Dijual dengan harga RM6.90, dapatkan informasi mengenai produk ini di laman Instagram @imizu_official atau laman web www.i-mizu.com.