Bakal menerima kelahiran cahaya mata kedua pada Oktober ini, pelakon Fizz Fairuz mengimpikan untuk menimang anak lelaki.

Isterinya, aktres Almy Nadia kini sedang sarat hamil lima bulan. Sebelum ini, mereka telah dikurniakan puteri sulung, Nur Afrina Ariana pada 16 Februari tahun lalu.

“Kalau boleh, untuk anak kedua, saya mengimpikan untuk menimang cahaya mata lelaki. Sehingga kini, setiap kali imbasan dilakukan, jantina anak kedua kami masih belum dapat dikenalpasti. Dia main sorok-sorok agaknya.

“Apa yang penting bagi saya dan isteri, tak kisahlah apa jantina anak saya, asalkan bayi yang bakal lahir nanti sihat sejahtera dan sempurna sifatnya. Itu sudah cukup baik bagi saya dan isteri. Semuanya bergantung atas soal rezeki.

“Jika dapat anak perempuan lagi, dia boleh bermain dengan kakaknya. Jika kami diberikan rezeki untuk menimang anak lelaki, kami sudah mendapat sepasang anak dan bolehlah dia berkawan dengan saya kelak,” kata Fizz.

Mengulas mengenai aktiviti di bulan Ramadan, Fizz sibuk menjalankan perniagaan bersempena kehadiran Syawal yang bakal tiba.

“Saya menjual koleksi kurta saya sendiri di bawah jenama FizzFairuz by Binqareem dan sambal hitam Pahang. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan. Saya membuka tapak jualan di Skypark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang sehingga minggu kedua bulan Julai,” katanya yang ditemui di majlis pelancaran Uptown Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.

Uptown yang terletak di Dataran Wangsa, Wangsa Melawati itu menjual kelengkapan Syawal dan makanan yang enak dibuka bermula jam 10.00 malam sehingga 3.00 pagi.