Pelakon Fahrin Ahmad memberitahu akan beraya di Kuala Lumpur tahun ini kerana tidak sanggup mengharungi jem untuk pulang ke kampung halamannya di Johor Bahru.

“Tahun ini kami mungkin beraya di Kuala Lumpur sebab ibu dan bapa saya berhajat untuk Raya di sini dan saya pun tak perlulah nak memandu dalam jem.

“Biasalah musim perayaan memang ramai yang balik kampung dan benda yang paling saya trauma sekali ialah nak ‘travel’.

“Bukan apa, nak memandu tu sebenarnya yang buat kira rasa macam tabahnya bila terperangkap dalam kesesakan dengan masa yang lama.

“Tapi bukanlah kami tak balik langsung, sebab saudara mara saya dan isteri ramai di Johor Bahru, jadi kami mungkin akan pulang ke sana cuma tak tahu lagi raya ke berapa.

“Sebenarnya raya di sini pun okay, sebab adik-beradik saya menetap di KL, tambahan pulak mak mertua pun ada di sini.

“Jadi bila dah kedua ibu bapa kami ada di KL, Raya tetap rasa meriah sebab dapat berikan masa bersama mereka,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Fahrin lagi, Raya tahun ini memberikan pengalaman berbeza buat dirinya yang bakal bergelar bapa tidak lama lagi.

“Ini tahun kedua saya beraya bersama isteri dan tahun ini saya rasakan pengalaman yang betul-betul berbeza dari sebelum ini.

“Rasa seronok sebab dari tahu ke tahun saya nampak berbezaan yang berlaku pada diri di mana kalau dulu beraya seorang, kemudian tahun lepas dengan isteri dan tahun ini pula beraya bertiga bersama anak dalam kandungan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon berusia 37 tahun ini besyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang sangat memahami kerjaya seninya.

“Bila bercakap pasal isteri, ini antara perkara yang saya rasa syukur sangat kerana tuhan dah temukan dengan seorang yang benar-benar memahami saya.

“Sepanjang dua tahu bersama, dia faham dengan kerja saya yang menutut saya untuk berada di set penggambaran lebih lama dari di rumah.

“Dia seorang yang matang dan bijaksana, saya pun tak sembunyikan apa-apa dan jadual kerja semua saya kongsi dengan dia.

“Kalau balik lambat saya akan beritahu dia, bukan apa saya risau juga kalau-kalau dia tertunggu-tunggu saya balik.

“Dia juga tak mempersoalkan kenapa balik lambat sebab itu saya rasa ada juga hikmah kerana sebelum ini selepas berkahwin kami masih lagi kami berhubung melalui jarak jauh kerana tuntukan kerjanya sebagai seorang ketua pramugari.

“Kami banyak berhubung melalui talifon dan ‘update’ rutin harian kami, sebab itu bila dia dah berhenti kerja, kami buat perkara yang sama dan memang tak ada masalah,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Fahrin merupakan antara salah seorang selebriti tempatan yang terlibat dalam alih suara filem Jurassic World dan membawakan watak sebagai Hoskins.

Jurassic Park bakal disiarkan dalam versi Bahasa Melayu pada 6 Julai depan sempena Hari Raya Aidilfitri bermula jam 9.00 malam di HBO (saluran 411) dan HBO HD (saluran 413).

Selain Fahrin, selebriti yang terlibat ialah Nora Danish, Izzue Islam, Nabil Ahmad, Hisyam Hamid, Farah Fauzana, Bront Palarae, Akhmal Nazri dan ramai lagi.