Penyanyi dangdut Mas Idayu sememangnya sinonim dengan caranya yang tersendiri.

Menggunakan rotan, Mas Idayu memilih cara tersebut untuk mengasuh protege di bawah jagaannya ketika dia menyertai program Mentor beberapa tahun yang lalu.

Pada tahun ini, Mas Idayu telah dilantik untuk menggalas tugasan sebagai guru vokal bagi program realiti AF2016.

Sebagai salah seorang tenaga pengajar, adakah penyanyi lagu Robek Hatiku ini akan turut membawa rotan untuk mengasuh bakal pelajar AF2016 kelak?

"Untuk kali ini, sudah pastinya saya mempunyai cara tersendiri dalam mendidik bakal pelajar AF2016. Segala yang bakal saya ajarkan dan kongsi bersama mereka bukanlah bersifat drama, tetapi itu merupakan cara Mas Idayu untuk mengajar mereka.

"Apa yang penting adalah keikhlasan hati mereka. Mereka harus tanamkan sifat ingin belajar dan mahu berjaya sebagai seorang penyanyi. Mereka tak perlu takut kalau mereka tidak melakukan sebarang kesalahan," katanya kepada Astro Gempak.

Menerima cabaran untuk menjadi salah seorang tenaga pengajar AF2016, penyanyi lagu Selangit ini mahu berkongsi ilmu dengan semua pelajar yang ada.

"Sebelum ini saya pernah menggalas tugasan menjadi guru untuk seorang protege sahaja. Kali ini pasti berbeza kerana bilangan pelajar AF2016 akan lebih daripada 10 orang.

"Saya mahu mendidik menerusi pengalaman yang saya timba dalam bidang nyanyian. Penonton sudah pandai menilai, jadi saya dan tenaga pengajar lain mahu jadikan edisi AF kali ini sebagai edisi yang terbaik," katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Mas Idayu yang menjadi juri untuk program D Academy Asia di stesen televisyen Indonesia ini bakal merakamkan dua buah single untuk pasaran Malaysia dan seberang.