Pelakon Sherry Ibrahim akui perkara yang dinantikan ketika menjelang Aidilfitri adalah berkumpul bersama keluarga tersayang.

“Kemungkinan untuk Raya hanya ambil cuti seminggu saja lagipun rumah keluarga saya tak jauh hanya di Kuang, Selangor.

“Untuk persiapan Raya ni saya tak adalah nak beli baju beria sangat sebab keluarga saya memang sangat ‘simple’ dan kami selalunya hari Raya pertama tu saja yang sibuk keluar berjalan.

“Cuma bagi saya apa yang paling saya tunggu ialah masa untuk bersama dengan keluarga sebab kalau hari-hari biasa saya sibuk dengan kerja dan jarang dapat bersama mereka.

“Jadi ini sajalah masa yang ada untuk kami adik-beradik berkumpul, berbual-bual sambil memasak dan bergurau senda. Seronoknya! Tak sabar pula rasanya,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai persiapan Raya, Sherry memberitahu dia lebih gemar mengemas rumah berbanding membuat kuih Raya.

“Setiap kali Raya, benda yang paling saya suka buat ialah kemas rumah dan tolong basuh pinggan.

“Kalau nak buat kuih Raya tu saya memang angkat tangan awal-awal lah sebab adik-beradik yang lain lagi ‘terer’ daripada saya.

“Juadah wajib yang perlu ada untuk kami sekeluarga haruslah rendang, rasa macam tak lengkap pula kalau Raya tak ada rendang,” ujarnya tersenyum.

Dalam perkembangan lain, Sherry kini dalam proses menyiapkan single pertamanya yang bakal muncul tidak lama lagi.