Single pertama kumpulan Dia Band berjudul ‘Mungkin’ mula diterima pendengar apabila video liriknya ditonton lebih 21 ribu kali di laman Youtube KRU Music sejak dilancarkan pada 20 Jun lalu.

Lagu Mungkin merupakan ciptaan dan diterbitkan sepenuhnya oleh komposer berprolifik, Edry Abdul Halim.

Keputusan mengambil Edry sebagai komposer dan penulis lirik bagi single pertama mereka kerana mahu menjalin kerjasama dengan seorang profesional dan berpengalaman, tambahan lagi ini merupakan buah tangan pertama Dia Band.

Dengan konsep muzik pop rock balada, Dia Band dipengaruh oleh aliran muzik indo-pop seperti kumpulan Kerispatih dan Ungu, namun tetap mencari kelainan dengan elemen Melayu moden yang begitu mesra dalam kalangan pendengar tempatan.

Selain berharap ‘Mungkin’ menjadi tiket bagi mereka memasuki industri hiburan tanah air secara mainstream, kumpulan ini juga berharap peminat dapat menerima kehadiran mereka.

Dia Band ditubuhkan pada tahun 2012 dianggotai lima pencinta muzik terdiri daripada Rafie (gitaris), Eppy (keyboardist), Fauzi (dram), Yazid (vokal) dan Didin (bassist).

Vokalisnya, Yazid merupakan bekas finalis rancangan realiti Akademi Fantasia musim yang ketujuh, seangkatan dengan rakan-rakannya yang lain seperti Hafiz Suip dan Akim Ahmad.

Selepas bergelar alumni Akademi Fantasia, Yazid tetap meneruskan minatnya dalam industri seni nyanyian dan tarian di mana dia juga pernah memasuki rancangan realiti tarian Showdown 2011.

Dia Band yang berasal dari Johor, diketuai oleh Fauzi selaku pengasas dan pemain dram pada asalnya menggunakan nama Eizi Band yang kemudiannya ditukar menjadi Dia Band yang lebih komersial.

Kumpulan ini merupakan artis pertama di bawah naungan Eizi Productions.

‘Mungkin’ boleh mula dimuat turun di iTunes, Spotify, dan pelbagai platform muzik digital yang lain.