Pelakon yang sedang mencipta nama, Azrel Ismail mengakui serasi bersama aktres Izreen Azminda.

Keserasian dalam lakonan itu wujud apabila mereka memegang watak hero dan heroin dalam drama bersiri terbaru yang berjudul Lelaki Macam Dia, hasil adaptasi novel Mamat Muka Selenga karya penulis popular Aliesha Kirana.

"Sebelum ini saya pernah berlakon bersama Izreen tetapi babak kami tidak banyak. Dalam drama bersiri Lelaki Macam Dia, kami bergandingan sebagai hero dan heroin.

"Hampir 90 peratus babak melibatkan gandingan kami sebagai teraju utama dan saya mengakui yang kami menemui keserasian dalam menjayakan watak Fahmi dan Fatihah Husna. Izreen sebagai pelakon yang lebih senior banyak membantu saya dalam menjayakan watak ini," kata Azrel kepada Astro Gempak.

Pertama kali membawakan karakter seorang lelaki yang berpewatakan selenga, Azrel mengakui agak sukar untuk merealisasikan watak utama drama bersiri Lelaki Macam Dia.

"Sebelum ini saya banyak menjayakan watak serius. Untuk drama bersiri Lelaki Macam Dia, saya menyahut cabaran kerana karya ini sendiri merupakan sebuah drama adaptasi novel dan mengangkat genre romantik komedi.

"Pada awalnya, saya merasakan kepayahan untuk menjayakan watak Fahmi. Namun begitu, lama kelamaan saya sudah mendapat rentak dan memberikan yang terbaik untuk watak ini. Saya berharap agar ianya diterima oleh semua pihak," katanya lagi.

Selain Azrel, drama bersiri 16 episod arahan sutradara Hashim Rejab ini dibintangi oleh Izreen Azminda, Akhmal Nazri dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Lelaki Macam Dia bermula malam ini, setiap isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123). Gunakan hashtag #LelakiMacamDia untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini di laman sosial.