Terima Panggilan Adira, Ruhainies Tak Rela Bermadu

24 Julai 2016. 9.37 AM
238,334
Hiburan
Terima Panggilan Adira, Ruhainies Tak Rela Bermadu

Pelakon jelita, Ruhainies mengakui yang dia menerima panggilan daripada isteri kedua Datuk Seri Adnan Abu, penyanyi Adira.

"Adira ada menghubungi saya pada malam kes ini dihebahkan. Dia bertanyakan dengan saya mengenai apa sebenarnya yang berlaku.

"Saya memberi penerangan kepada Adira tentang cerita sebenar. Dia memahami apa yang terjadi dan tidak menyalahkan sesiapa.

"Saya dan Adira tidak bermasam muka atau pun bergaduh. Dia pun belum memberikan apa-apa kenyataan kepada pihak media kerana mahu mendengar penjelasan saya terlebih dahulu.

"Saya merasakan yang Adira sangat profesional. Cara dia bercakap dengan saya pun adalah secara diplomasi dan tiada unsur marah-marah pun. Saya tidak bermasam muka dengan Adira," kata Ruhainies kepada Astro Gempak.

Mahu menjernihkan keadaan, Ruhainies tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak atas kejadian yang berlaku.

"Sebelum ini, saya ada memberikan kenyataan yang mungkin saya diperangkap oleh Datuk Red. Namun begitu, bila difikirkan semula, saya sendiri tak mahu menuduh Datuk Red sebab saya sendiri tak tahu cerita sebenar di sebalik gambar tersebut.

"Kalau satu pihak menyalahkan pihak lain, perkara tidak akan berhenti dan akan berlarutan. Saya ambil jalan tengah untuk kedua belah pihak. Perkara sudah pun terjadi dan saya sendiri tidak mahu salahkan sesiapa.

"Jika difikirkan semula, perkara ini sangat kecil kerana saya memang tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Datuk Red. Hubungan yang terjalin antara saya dan Datuk Red adalah atas dasar kerja," katanya lagi.

Ketika ditanya adakah dia rela bermadu jika jodohnya ditakdirkan dengan seorang lelaki yang berstatus suami orang, pelakon drama bersiri Menantu Tingtong ini tidak mahu berkongsi kasih kerana cemburu.

"Secara umumnya, saya tidak rela bermadu. Saya sendiri seorang yang kuat cemburu. Jadi kalau boleh, saya tidak mahu bercinta dengan suami orang.

"Namun begitu, saya sendiri tak mahu bercakap besar kerana takut jodoh saya dengan suami orang. Tapi selagi saya boleh jauhkan, saya akan jauhkan," katanya yang ditemui di majlis sambutan hari lahirnya di Flora Terrace Jalan Tun Razak pada Sabtu.

Dalam majlis kejutan hari jadinya itu, Ruhainies diraikan oleh keluarga, rakan-rakan dan kelab peminatnya. Ruhainies bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-24 pada 27 Julai ini.

"Saya langsung tidak menyangka yang majlis ini akan diadakan kerana sebelum ini, saya memang tidak pernah menyambut hari lahir saya dengan lebih awal.

"Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan majlis ini. Harapan saya bersempena hari lahir ini ialah untuk memberikan yang terbaik dalam bidang lakonan agar dapat membanggakan semua pihak yang tidak henti-henti menyokong saya," katanya lagi.

Dalam majlis tajaan Emorra Beauty ini, rakan-rakan artis seperti Hefny Sahad dan Reen Rahim turut hadir untuk memeriahkan majlis.


Artikel Berkaitan


Komen