Pelakon Adi Putra mengaku isteri keduanya, Norshahida Zolkifly, 33, masih berstatus isteri ketika mengenali wanita tersebut.

Bagaimanapun pengakuan tersebut dibuat Adi selepas diasak soalan yang sama berulang kali.

Dalam masa sama, Adi menolak dakwaan menjadi punca penceraian Shahida dan bekas suaminya, Rahizam Rahimpudin.

"Ya, saya tahu saya keluar dengan isteri orang. Tetapi tak perlu saya selidik apa yang berlaku dalam rumah tangga dia (isteri kedua) dan bekas suaminya.

"Kerana bagi saya apa yang berlaku dalam rumah tangga dia dan suaminya sebelum ini adalah aib mereka.

"Namun untuk mengatakan saya yang menjadi punca penceraian mereka, saya menolak dakwaan tersebut," katanya kepada Astro Gempak.

Adi ditemui dalam satu sidang media yang berlangsung di Casa Ombak, Ampang pada petang Isnin.

Menerusi sidang media tersebut Adi turut menafikan perkahwinan keduanya disebabkan zuriat.

"Saya berkahwin bukan kerana zuriat. Zuriat bukan seperti ke bengkel kereta. Saya dan Aida tidak pernah berselisih faham kerana anak, kerana anak adalah amanah.

"Jadi saya menolak perkahwinan kedua saya disebabkan zuriat," katanya yang turut menolak dakwaan mengahwini Norshahida kerana perniagaan.

Dalam pada itu Adi menjelaskan, isteri pertamanya Aida Yusof, 41, mengetahui tentang perkahwinan keduanya.

"Aida jawab tidak tahu kepada wartawan yang bertanya kepadanya sebelum ini kerana dia memegang amanah.

"Sebagai suami, saya bangga dengan tindakan Aida kerana dia menyerahkan kepada saya untuk menjawab semua persoalan.

"Sebagai ketua keluarga, biarlah saya tampil ke depan menjelaskan tentang perkara (perkahwinan) tersebut. Tidak terlintas untuk saya merahsiakan perkahwinan kali kedua ini cuma ia tersebar ketika saya belum sempat untuk mengumumkannya kepada semua," katanya.

Majlis sidang media turut digemparkan dengan kehadiran bekas adik ipar isteri kedua Adi.