Penyanyi baru Nadira Adnan yang sedang mencipta nama di Malaysia dan Indonesia bakal muncul konsert Cinta Concert di Istana Budaya pada 19 dan 20 Ogos ini.

Menurut Nadira, 19, dia telah melalui proses persediaan intensif seperti kelas vokal untuk konsert ini sejak bulan Mei lalu di Indonesia walaupun sibuk sebagai pelajar perubatan.

“Saya sangat teruja namun gementar kerana ini merupakan persembahan terbesar saya buat pertama kalinya. Saya seakan tidak percaya kerana dapat membuat persembahan bersama nama-nama besar industri hiburan tempatan yang merupakan inspirasi saya.

“Saya harap semua yang terlibat serta penonton turut merasai keterujaan saya. Saya berharap usaha serta penat lelah saya akan membuahkan hasil,”ujar Nadira Adnan yang kini terkenal dengan lagu Sayang,” kata Nadira Adnan.

Dalam pada itu Joe Flizzow meluah rasa teruja untuk menjayakan persembahan di Cinta Concert.

“Saya tidak sabar untuk menghiburkan penonton dan membuat persembahan di pentas yang penuh berprestij,” jelas Joe Flizzow.

Malah vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh merasa bangga kerana diberi kepercayaan untuk berkongsi pentas dengan gabungan penyanyi Nadira Adnan selain barisan pemuzik terhebat tanah air.

“Dapat bergandingan dengan nama-nama besar di dalam industry muzik tanah air merupakan satu kebanggan buat saya,”ujar Noh.

Yuna turut meluahkan rasa terharu apabila diberi kepercayaan untuk menjayakan Cinta Concert.

“Saya amat terharu untuk membuat persembahan di Istana Budaya bersama Amy Search, Joe Flizzow, Noh serta Nadira. Saya berharap peminat dapat turut bersama-sama datang menyaksikan konsert ini nanti,” kata Yuna.

Bertempat di Panggung Sari, konsert yang dibawakan oleh Nadira Music Management ini turut mengabungkan juga nama-nama besar dalam dunia seni. Yuna, Amy Search, Noh Salleh dan Joe Flizzow.

Menariknya tentang Cinta Concert ini ialah bukan sahaja daripada pemilihan lagu artis yang terlibat tetapi juga produksi konsert yang menitikberatkan soal pementasan dan rekaan yang pasti memukau mata penonton yang hadir kelak.

Konsert ini akan memperlihatkan Eddie Slam sebagai pengarah muzik dengan ditemani pemuzik-pemuzik handalan Malaysia.

Tiket-tiket untuk Konsert Cinta ini yang berharga RM100, RM175, RM250, RM300 dan RM 500 akan mula dijual pada 21 Julai 2016 di www.ticketpro.com.my dan kaunter tiket Istana Budaya.