Penyanyi lagu Bukan Hal Aku, Kaka Azraff, 27, enggan memikirkan mengenai cinta.

Disaat rakan-rakan seusia menjalin hubungan cinta dan melangkah ke alam perkahwinan, anak saudara kepada penyanyi Ella ini lebih selesa untuk memberikan tumpuan terhadap kerjaya.

"Saya ada mengenali beberapa orang teman, tetapi semuanya dalam proses perkenalan sahaja. Hubungan tersebut belum lagi mencapai tahap serius bercinta.

"Saya selesa mengenali tetapi belum masanya untuk saya bercinta. Saya tidak mahu memikirkannya buat masa sekarang. Biarlah saya memberikan fokus terhadap kerjaya saya dan memperkukuhkan lagi empayar sebagai seorang penyanyi," kata Kaka kepada Astro Gempak.

Bakal muncul dengan terbaru berjudul Terima Kasih, lagu tersebut merupakan ciptaan sepenuhnya oleh bekas ahli kumpulan Sleeq, Alif.

"Single terbaru saya akan dipasarkan tidak lama lagi. Rakaman muzik video pun telah saya siapkan.

"Istimewanya kali ini, lagu Terima Kasih menampilkan saya sebagai penyanyi solo dan saya sendiri memilih lagu ini untuk dijadikan single terbaru. Saya berharap agar lagu ini mendapat maklumbalas positif peminat," katanya yang ditemui di majlis rumah terbuka IM4U bersama Warner Music pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, filem lakonan Kaka bersama Izzue Islam, Alif Satar dan Juliana Evans, Aliff Dalam 7 Dimensi bakal muncul di pawagam penghujung Ogos ini. Filem terbitan Astro Shaw itu merupakan arahan sutradara Faisal Ishak.