Pelakon Adi Putra menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat isteri keduanya, Nor Shahida Zolkifly, yang ditahan polis berhubung sindiket penyeludupan warga asing.

Adi Putra atau nama sebenarnya Adi atau Mohamed Hadi Putera Halim, 35, berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini membabitkan isterinya itu oleh Berita Harian Online.

"Saya tidak begitu pasti (butiran siasatan) tetapi biarkan pihak berkuasa menjalankan dulu kerja mereka. Apapun, saya akan maklumkan kemudian," katanya ketika dihubungi menerusi mesej WhatsApp, semalam.

Nor Shahida antara yang ditahan polis berhubung siasatan sindiket penyeludupan warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Wanita itu sebelum ini pernah bertugas sebagai Penyelia Gred 27 di Kaunter Imigresen KLIA sebelum dipindahkan ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya, susulan kenaikan gred kepada 32.

Selain wanita terbabit, dua kakitangan Imigresen yang pernah bertugas bersamanya di KLIA, turut ditahan bagi membantu siasatan kes sama.

Adi dan Nor Shahida, 33, bernikah pada 20 Jun lalu.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, isteri seorang pelakon terkenal adalah antara 28 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen yang ditahan polis dalam operasi khas Selasa lalu di Putrajaya kerana dipercayai terbabit dengan sindiket penyeludupan manusia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata semua mereka, termasuk wanita berusia 33 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.

"Mereka disyaki terbabit dalam pemalsuan dokumen dan memberi laluan segera kepada warga asing yang memasuki negara ini tanpa melalui prosedur yang sah," katanya ketika dihubungi agensi berita itu.

Noor Rashid berkata, polis tidak menolak kemungkinan ada pegawai kanan Imigresen yang terbabit dalam kes itu.

Beliau berkata, siasatan lanjut dilakukan untuk mengenal pasti individueliau lain yang mungkin terbabit.

Semua suspek ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.