Kanak-Kanak Menangis & Takut Lihat Nadya Syahera

31 Julai 2016. 2.23 AM
72,290
Hiburan
Kanak-Kanak Menangis & Takut Lihat Nadya Syahera

Pelakon baru, Nadya Syahera mendedahkan ada kanak-kanak yang takut dan hampir menangis apabila melihat dirinya.

Semuanya adalah kerana impak karakter Bella, watak antagonis yang dibawanya menerusi drama bersiri Dia Semanis Honey.

"Ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini, ada kanak-kanak yang datang beraya di kediaman saya. Mereka mengenali saya dengan watak Bella.

"Saya boleh katakan yang impak karakter Bella sangat kuat kerana ada kanak-kanak yang takut dengan saya malah ada juga yang hampir menangis apabila melihat saya," kata Nadya kepada Astro Gempak.

Mahu menjayakan watak penuh emosi, Nadya mendedahkan ada antara sanak saudaranya yang menegah dirinya mengambil tawaran untuk membawakan karakter antagonis lagi.

"Ada antara saudara mara saya menasihati saya agar tidak lagi mengambil watak antagonis. Ada juga yang memahami itu hanya sekadar lakonan dan memuji keberkesanan watak Bella yang saya lakonkan.

"Saya menerima komen dengan hati terbuka. Sebagai pelakon baru, kalau boleh saya mahu mencuba pelbagai watak. Watak idaman saya adalah sebuah karakter yang bermain dengan banyak emosi," katanya yang ditemui di majlis pelancaran produk Mince MX Juice dan Hot Serum keluaran Clear Herbs pada Khamis.

Dilantik menjadi duta untuk produk tersebut, Nadya mencuba terlebih dahulu keberkesanan produk sebelum bersetuju menandatangani kontrak.

"Sebelum saya bersetuju untuk menggalas tanggungjawab sebagai duta untuk produk tersebut, saya terlebih dahulu mencuba produk ini.

"Selepas tiga minggu, saya merasakan keberkesanannya dan bersetuju untuk menjadi duta. Layari laman web www.clearherbs.com.my untuk mendapatkan lebih informasi mengenai produk ini," katanya lagi.


Artikel Berkaitan


Komen