Pelakon Rozita Che Wan mengakui perlu mengambil nasi dua kali sehari untuk mengekalkan stamina tubuh badannya.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Che Ta, berkata dia perlu menjaga pemakanannya untuk tubuh badan yang sihat dan ideal.

“Saya tiada petua yang spesifik untuk menjaga tubuh badan. Malah diet saya pun agak berbeza daripada orang lain.

“Bagi mendapatkan tubuh badan yang sihat dan bertenaga saya perlu makan nasi sekurang-kurangnya dua kali sehari.

“Nasi antara makanan ruji yang sangat penting untuk saya. Saya rasa lebih bertenaga untuk meneruskan aktiviti harian yang kadang-kadang memakan masa sehingga seharian di luar.

“Saya akan pening atau masuk angin jika saya tidak mengambil nasi pada hari itu,” katanya kepada Suudu.

Selain perlu mengambil nasi, ibu kepada Aaisyah Dhia Rana itu menegaskan pengambilan sarapan pagi adalah yang paling penting untuk menjaga tubuh badan.

“Setiap pagi saya tidak pernah terlepas untuk mengambil breakfast sebelum memulakan aktiviti harian. Ia sangat penting.

“Selain itu, minum air kosong yang banyak juga penting untuk tubuh badan anda supaya tidak dehydrated,” katanya lagi.