Ola Bola, Polis Evo Tercalon Lebih 10 Kategori FFM 28

4 Ogos 2016. 10.42 AM
11,778
Hiburan
Ola Bola, Polis Evo Tercalon Lebih 10 Kategori FFM 28

Dua filem pecah panggung terbitan Astro Shaw, Ola Bola dan Polis Evo masing-masing tercalon lebih 10 kategori Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28.

Filem Ola Bola yang mencatat kutipan hampir RM17 juta itu telah disenaraikan dalam 14 daripada 27 kategori dipertandingkan.

14 kategori yang diungguli filem arahan Chiu Keng Guan itu ialah Kesan Visual Khas Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Pelakon Baharu Wanita Terbaik, Pelakon Baharu Lelaki Terbaik, Lagu Tema Asal Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penyunting Terbaik, Pereka Kostum/Busana Terbaik, Lakon Layar Terbaik (filem bukan di dalam Bahasa Malaysia), Cerita Asal Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik (filem bukan di dalam Bahasa Malaysia) dan Filem Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia.

Ola Bola merupakan sebuah filem berkisarkan tentang  suka-duka pasukan bola sepak kebangsaan pada era 80-an.

Sementara itu, Polis Evo yang mencatat kutipan sebanyak RM18 juta pula telah tersenarai dalam 10 kategori pencalonan akhir FFM 28.

Pelakon filem Polis Evo, Shaheizy Sam dan Zizan Razak juga masing-masing turut tercalon untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik.

Malam kemuncak FFM28 akan berlangsung di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) pada 3 September depan.


Artikel Berkaitan


Komen