Penyanyi antarabangsa, Maher Zain atau nama sebenarnya Maher Mustafa Maher Zain, 35, menyatakan rasa terharunya apabila masih diterima dengan baik di Malaysia walaupun hampir dua tahun tidak muncul dengan album baru.

“Sebelum ini, saya tidak pernah sampai ke Malaysia. Namun begitu, saya selalu mendengar khabar mengenai Malaysia. Mengenai kecantikan Malaysia, keramahan penduduknya dan banyak lagi.

“Kali pertama menjejakkan kaki ke Malaysia pada 2010, saya telah menyaksikannya sendiri. Ternyata apa yang dikatakan selama ini benar.

“Saya juga sangat bersyukur apabila peminat saya di Malaysia tidak putus-putus memberikan semangat agar saya dapat berkarya. Walaupun hampir dua tahun tidak muncul dengan produk baru, mereka tetap utuh menyokong kerjaya seni saya,” kata Maher yang ditemui di majlis pelancaran album solo terbarunya yang berjudul One baru-baru ini.

Bercakap tentang album terbarunya, Maher mengambil masa satu setengah tahun untuk menyiapkan proses rakaman album One.

“Selepas dua album solo saya yang telah menemui peminat sebelum ini, album One merupakan buah tangan terbaru saya telah mula dipasarkan bermula 1 Ramadan lalu. Album One memuatkan 15 buah lagu lebih segar untuk menjadi halwa telinga semua pihak.

Memuatkan lagu Medina yang sedang rancak diputarkan di stesen radio tempatan, album One juga memuatkan beberapa kolaborasi Maher bersama penyanyi lain.

“Sebagai contoh, menerusi lagu The Power, saya berkolaborasi bersama penyanyi dari Afrika Selatan, Amakhono We Sintu. Album One telah pun dikeluarkan dalam tiga versi berlainan untuk pasaran dunia iaitu versi Bahasa Arab, Bahasa Turki dan Inggeris. Saya berharap agar album ini dapat diterima semua pihak,” katanya mengakhiri perbualan.