Pelakon baru yang sedang membina nama dalam industri hiburan, Mira Filzah tidak rimas apabila dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan rakan selebriti.

Sebelum ini, Mira dikatakan mempunyai hubungan dengan pelawak Zizan Razak dan terbaru, Mira didakwa menjalinkan hubungan dengan pelakon Ben Ali.

“Saya tidak rimas apabila selalu dikaitkan dengan gosip cinta bersama rakan selebriti. Seperti Zizan, saya dan dirinya hanya kawan biasa sahaja.

“Mungkin ramai yang mula mengaitkan kami dan mengatakan kami menjalinkan hubungan istimewa selepas kami digandingkan sebagai pengacara dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian baru-baru ini. Tapi sebenarnya, saya masih solo dan belum lagi menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki,” kata Mira ketika ditemui di Minaz Warehouse Sale yang diadakan di Minaz HQ, Kawasan Perindustrian Kajang Jaya, baru-baru ini.

Bergelar duta wangian Roselle EDP keluaran Minaz, Mira sendiri mencubanya sebelum setuju menggalas tanggungjawab sebagai duta.

“Bau wangian ini sangat serasi dengan saya. Saya sendiri menggunakan wangian ini dan sangat berpuas hati dengan hasilnya. Saya menjadi duta semenjak April lalu dan durasinya selama lima bulan sahaja.

“Walaupun kontrak itu bakal tamat, saya belum mempunyai perancangan lagi untuk keluar dengan jenama wangian sendiri,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Mira bakal muncul dalam sebuah drama bersiri siaran Astro dan Mira akan bergandingan bersama Fattah Amin.