Pelakon Saharul Ridzwan akui lebih selesa memilih untuk bercinta selepas kahwin bersama bakal isterinya Deena Emir.

Saharul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim berkata sebelum ini dia pernah berkawan rapat dengan Deena hampir empat tahun lalu sebelum mengambil keputusan membawa haluan masing-masing.

"Sebenarnya saya dah kenal dia hampir empat tahun sebelum ini.

"Kami hanya berkawan rapat dan selepas itu kami membawa haluan sendiri.

"Lepas pada itu saya tak pernah jumpa dia langsung, dan kami jumpa kembali pada bulan Januari tahun ini.

"Kami tidak bercinta tetapi saya percaya pada jodoh, selepas jumpa dia saya rasa seperti ada keserasian antara kami.

"Dia juga seorang yang bertanggungjawab dan Alhamdulillah, saya dah berjumpa dengan keluarga dia pada bulan Februari lalu.

"Kisah cinta kami tak sama seperti orang lain, kami bertemu kembali waktu kami dah berusia dan matang.

"Sebab itu kami lebih selesa memilih untuk bercinta selepas kahwin," katanya ketika ditemui pada Sidang Media Pengumuman Perkahwinannya bertempat di Delicious, Bangsar sebentar tadi.

Tambah Saharul lagi, dia tiada niat untuk merahsiakan berita mengenai perkahwinan mereka sebelum ini.

"Saya tidak ada niat pun untuk rahsiakan tentang perkara ini.

"Sebenarnya saya merancang untuk memberitahu dalam sidang media khas tapi lain pula jadinya.

"Bukan apa, saya tak mahu nanti kalau-kalau nanti ada pihak media yang tak dapat atau terlepas info.

"Kalau boleh saya mahu semua dapat tahu dan itu barulah adil.

"Tapi itulah tak semua yang kita rancang itu menjadi," ujarnya ketawa.

Dalam pada itu, Saharul juga turut menafikan dakwaan yang mengatakan dia pernah bertunang dengan pemilik butik itu seperti mana yang pernah tersebar di laman sosial sebelum ini.

"Di sini saya ingin jelaskan bahawa saya tak pernah bertunang dengan dia.

"Dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan kenyataan itu bukan datang dari saya," jelasnya pendek.

Majlis perkahwinan Saharul Ridzwan, 27, dan bakal isterinya Deena Emir atau Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir, 28, bakal diadakan di Dewan Sri Siantan, Presint 3, Putrajaya pada 16 September depan.

Manakala satu majlis khas buat peminat akan diadakan pada 18 September dan lokasinya akan diberitahu kemudian.