Seramai 14 orang pelajar Akademi Fantasia (AF) 2016 telah diperkenalkan selepas jejaka kelahiran Singapura, Sufi Rashid dinobatkan sebagai juara program realiti ini musim lalu.

AF2016 menyaksikan tujuh pelajar lelaki iaitu Amal, 21 (Pulau Pinang) Amir, 20 (Selangor), Ikram, 26 (Kuala Lumpur) Zarol, 23 (Johor Bahru), Rais, 22 Selangor), Halmy, 23 (Kuala Lumpur) dan Isa, 23 (Selangor).

Manakala tujuh pelajar perempuan ialah AFI, 23 (Sabah), Ara, 19 (Negeri Sembilan), Rahila, 20 (Singapura), Riana, 26 (Pahang), Jasper, 23 (Johor), Asha, 20 (Melaka) dan Reshma, 18 (Selangor).

Sementara itu, Zizan Razak masih dikekalkan sebagai pengacara.

Sesi memperkenalkan barisan pelajar baru AF telah berlangsung di Soju, Sunway pada petang Selasa.

Istimewanya musim ini, juara pertandingan JoHaRaStar anjuran radio rasmi AF2016, ERA fm akan diserap masuk untuk menyertai 14 pelajar lain pada konsert mingguan ketiga.

Pengurus saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, Astro sentiasa teruja untuk membuka jendela AF setiap musim.

"Pelbagai perancangan teliti telah dirangka untuk menerbitkan sebuah lagi musim terbaik sekaligus memastikan kegemilangan AF dapat dikekalkan," katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai penyerapan masuk juara JoHaRaStar, Raqim memberitahu ia adalah kelainan pada musim ini selain untuk memberi cabaran kepada para pelajar.

"Ini pertama kali kami menyerap masuk pelajar ke dalam akademi ketika pembelajaran sedang berlangsung, dan ini adalah cabaran buat mereka supaya sentiasa fokus kepada pembelajaran dan berjuang sehabis boleh demi memastikan kedudukan mereka di akademi terjamin," ujarnya.

AF 2016 akan mula bersiaran secara ekslusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap hari Ahad, jam 9 malam bermula 21 Ogos ini.

Konsert mingguan akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sementara itu rutin harian para pelajar menjalani kehidupan di akademi boleh ditonton menerusi Diari AF 2016 pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 15 Ogos di saluran sama.