Amitabh Bachchan Pernah Disahkan Meninggal Dunia
Bagi mereka yang meminati filem-filem Bollywood, pasti mengenali Amitabh Bachchan, pelakon lagenda yang sering menjadi pujaan sejak dari dahulu lagi. Satu fakta menarik tentang pelakon berkarisma ini ialah beliau pernah disahkan meninggal dunia secara klinikal setelah mengalami kecelakaan di lokasi penggambaran filem di Bangalore, India pada tahun 1982.
Kejadian itu berlaku ketika dia sedang menjalani sebuah adegan pergaduhan, dimana Amitabh Bachchan terjatuh dan menimpa sebuah meja. Akibatnya, limpa aktor kacak ini pecah lalu segera dibawa ke hospital di Bangalore untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Lebih menakutkan Amitabh Bachchan koma tidak sedarkan diri bahkan doktor mengesahkan beliau telah meninggal dunia secara klinikal iaitu selama dua minit.
Mengulas lanjut mengenai kejadian tersebut menerusi The Times of India, Amitabh secara terus terang menganggap kemudahan perubatan di Bangalore pada ketika itu tidak begitu bagus, tetapi kini sudah pasti keadaan sudah berubah.
Setelah sedar dari koma pada 2 Ogos 1982, Amitabh merasa seperti beliau baru dilahirkan kembali dan memutuskan untuk menyambut tarikh keramat tersebut sebagai ulang tahun keduanya setiap tahun.
“Saya secara terbuka tidak kisah jika orang ramai sering bertanyakan tentang kejadian tersebut. Jika ada orang yang ingin mengetahui cerita sebenar apa yang berlaku, saya akan menceritakan secara terperinci apa yang berlaku sewaktu saya mengalami kejadian yang hampir meragut nyawa saya itu,” kata lagenda Bollywood itu.