Saksikan Drama Siri Terbaru Tiara di Astro Gempak!
Umum mengetahui baru-baru ini pihak Astro Prima (105) dengan bangganya membawakan drama bersiri 20 episod terbaru berjudul Tiara yang telah ditayangkan sejak 22 Oktober 2012 lalu bermula dari hari Isnin hingga Khamis. Drama yang disiarkan selama satu jam ini menampilkan dua penyanyi muda yang dikenali ramai iaitu Adira AF8 dan penyanyi kelahiran Singapura yang popular dengan lagu Jangan Kacau Pacarku, Alif Aziz.
Terbaru, kepada mereka yang tidak berkesempatan untuk menonton drama bersiri Tiara sebelum ini, anda berpeluang untuk menontonnya di portal Astro Gempak bermula dari episod satu hingga ke episod empat yang akan mula ditayangkan pada 29 Oktober 2012 bermula jam 6.00 petang.
Secara ringkasan, Adira yang memegang watak sebagai seorang wanita muda bernama Tiara mempunyai wajah yang cantik, feminin dan energetik yang berasal dari keluarga sederhana. Sementara Kamal lakonan Alif Aziz seorang yang tampan dan baik hati berasal dari keluarga yang kaya. Mereka berdua belajar di kolej yang sama.
Mereka berdua bertemu dan bercinta ketika belajar di kampus dan menghabiskan masa terluang bersama. Namun cinta yang dibina akhirnya berakhir tanpa diduga apabila Kamal akhirnya berkahwin dengan Suzila yang juga sekampus dengan mereka. Perkara ini terjadi apabila adik kepada Kamal telah dihamilkan oleh Khairul yang juga kebetulan abang kepada Suzila.
Akibat tidak ingin menanggung malu, Kamal bersedia untuk berkahwin dengan Suzila demi menjaga maruah adiknya yang telah dihamilkan oleh Khairul. Akibat daripada perkahwinan antara Kamal dan Suzila, Tiara patah hati dan membawa dir ke Pulau Pinang. Di sana , Tiara bertemu dengan soerang jejaka bernam Omar dan akhirnya mereka mengambil keputusan untuk berkahwin.
Namun kebahagian Tiara berakhir dengan tragis apabila ibu mertuanya memaksa Omar untuk berkahwin dengan wanita lain akibat mereka tidak mampu untuk melahirkan zuriat. Akibat terlalu kecewa, Tiara kembali pulang ke Kuala Lumpur dan menjadi guru tadika. Tanpa disangka anak Kamal turut berada di tadika yang sama dan ini membuatkan Kamal dan Tiara bertemu kembali.
Adakah mereka berdua akan kembali rapat seperti sewaktu percintaan mereka di kampus dahulu? Mampukah Tiara dan Kamal melupakan segala memori indah mereka yang sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam di antara mereka berdua?
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah awal percintaan mereka sewaktu di kampus dahulu, jangan lupa untuk menyaksikan drama bersiri Tiara yang menampilkan Adira AF8 dan Alif Aziz di Astro Gempak pada 29 Oktober 2012, bermula jam 6.00 petang.