Zizan Razak Timbang Tawaran Jadi Penyampai Era FM
Mahu memikirkan sedalam-dalamnya tawaran mengalas tugas sebagai penyampai radio Era FM, kata pelawak, pengacara dan pelakon, Zizan Razak, semuanya masih belum diputuskan.
Kata Zizan, banyak perkara yang harus dipertimbangkan dahulu sebelum menerima tawaran tersebut bagi mengelakkan berlaku sebarang masalah di kemudian hari.
“Saya perlu berfikir dahulu sebelum memberikan sebarang keputusan kerana kalau saya terima tawaran itu bererti satu lagi tugas berat saya pikul.
“Apa pun saya akan memikirkan sedalam-dalamnya tawaran itu dan akan berjumpa dengan pihak pengurusan Era FM bagi membincangkan lebih lanjut mengenai tawaran itu nanti,” katanya mengulas mengenai tawaran yang diberikan oleh Era FM kepada dirinya.
Mengulas lanjut mengenai tawaran itu, kata lelaki berusia 28 tahun ini, dia telah pun dihubungi oleh pihak Era FM sekitar bulan lalu untuk muncul sekali seminggu bersama Aznil Nawawi dalam slot CartaEra 40, setiap Sabtu yang ke udara bermula pukul 12 tengah hari.
“Satu penghormatan sekiranya saya dapat bergandingan dengan Pak Nil, cuma seperti yang saya katakan tadi, saya perlu memikirkan semasak-masaknya sebelum bersetuju. Kerana saya sendiri kurang pasti dan yakin sama ada saya mampu menjadi penyampai radio yang baik seperti Pak Nil dan Johan,” jelasnya.