Seal Bongkar Kecurangan Klum Bersama Bodyguard
Setelah berbulan-bulan merahsiakan punca penceraiannya bersama supermodel Heidi Klum, akhirnya penyanyi terkenal Seal mendedahkan rahsia keruntuhan mahligai cintanya.
Menerusi video yang dipaparkan di portal TMZ baru-baru ini, Seal memberitahu punca sebenar penceraian mereka disebabkan sikap curang Klum bersama pengawal peribadi mereka, Kristen.
Pendedahan itu dilakukannya oleh pelantun lagu Kiss From a Rose setelah gambar-gambar Klum bersama Kristen bercuti mula disiarkan di media massa.
"Nampaknya anda semua sudah mendapat jawapan yang anda cari sejak perpisahan kami," katanya.
Lebih menyedihkan hatinya, kata Seal, Klum sudah pun meniduri Kristen ketika mereka masih menjadi pasangan suami isteri.
"Saya mengharapkan dia (pengawal peribadi) menjalankan tugasnya sebagai pengawal namun sebaliknya yang berlaku. Cuma saya kesal, Heidi sepatutnya menunjukkan contoh yang baik. Kalau mahu teman baru, biarlah sehingga kami berpisah dahulu," ucapnya.
Pasangan itu telah pun berpisah Januari tahun ini dan bercerai secara rasmi pada April lalu setelah mendirikan rumahtangga lebih tujuh tahun dan dikurniakan tiga orang anak.