Pengacara 8TV Julie Woon Fobia Dirompak
Mahu apa yang berlaku kepada dirinya dijadikan pengajaran, pengacara 8TV, Julie Woon berkongsi pengalamannya dirombak ketika di dalam kereta baru-baru ini menerusi laman sosial facebooknya.
Kata Julie Woon, insiden itu berlaku dengan pantas ketika dia berhenti di lampu isyarat selepas keluar dari pusat membeli belah One Utama.
"Kejadian berlaku selepas saya keluar dari One Utama dan berhenti di lampu isyarat. Saya tak sangka seorang penunggang motorsikal berada di sebelah dan memecahkan cermin tingkap kereta saya dan mengambil beg tangan saya.
"Dalam beg itu terdapat Ipad saya, namun mujur beg duit dan dompet saya tak ada dalam beg itu. Semuanya berlaku sekelip mata dan memang sukar untuk dipercayai,"katanya.
Terkejut dengan apa yang berlaku dia pantas terus membuat laporan di balai polis berdekatan.
"Balai polis ada berdekatan tempat kejadian dan mereka tak takut untuk merompak. Setelah membuat laporan, saya sendiri diberitahu bahawa kejadian seperti itu memang sering berlaku sebelum dan selepas sambutan hari raya," ucapnya kepada Astro Gempak.
Kerap kali mendengar cerita mangsa dirompak dan apabila terkena pada diri sendiri kata pengacara berusia 26 tahu itu, perkara tersebut sewajarnya diberi perhatian dan mengharapkan khalayak sentiasa berhati-hati.
"Selalu saya membaca berita mengenai rompakan dan apabila terkena diri sendiri baru kita tahu apa perasaannya. Saya berharap masyarakat terutamanya wanita akan lebih berhati-hati agar tidak mengalami kejadian rompakan sebegini,"katanya.