MasterChef Selebriti Malaysia Popularkan Karl Shafek
Mungkin jika kita sebut nama Karl Shafek masih ada yang belum cukup pasti empunya nama tersebut. Namun setelah melihatkan wajahnya barulah khalayak akan mengenali jejaka manis yang sedang menempa nama sebagai pengacara dan pelakon itu.
Mengakui masih lagi baru bertatih namun kata Karl Shafek, dia bersyukur kini nama dan dirinya semakin dikenali selepas menyertai program masakan MasterChef Selebriti Malaysia (MSM) musim pertama yang lalu.
"Saya akui saya masih baru dalam bidang pengacaraan serta lakonan. Sebelum ini, saya memulakan langkah awal dalam bidang seni menerusi bidang pengiklanan dan kemudiannya mencuba nasib sebagai pengacara dan pelakon.
"Saya juga mengaku , memang tak ramai yang mengenali saya namun segalanya berubah selepas saya menyertai MSM yang lalu. Ke mana saya pergi ada saja yang menegur dan menyapa. Kadang kala siap tanya masakan apa yang mahu saya masak nanti," katanya sambil ketawa.
Malah terang Karl Shafek, dia merasa amat bertuah kerana selepas menyertai MSM, tawaran mengacara serta berlakon banyak diterimanya.
"Saya bersyukur selepas menyertai MSM, banyak tawaran mengacara dan berlakon saya terima. Cuma ada kalanya bertembung masa maka saya terpaksa menolaknya. Sejujurnya saya memang mahu menjadikan bidang pengacaraan sebagai keutamaan dan lakonan hanyalah sampingan," katanya yang menjadikan Aznil Nawawi, Ryan Seacrest serta Nate Berkus sebagai idolanya.
Berpegang kepada prinsip biar bersusah dahulu untuk mengecapi kejayaan, kata pemuda berusia 32 tahun ini, dia rela lambat dikenali asalkan kerja dan bakatnya dihargai dan disukai ramai.
"Saya memulakan kerjaya pada tahun 2008 dan perlahan-lahan mencipta nama dalam bidang seni ini. Apa yang saya lihat sekarang, alhamdulillah nama dan bakat saya dapat diterima dan berdoa agar ianya berkekalan sebaiknya," ucapnya.
Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terbarunya, kata Karl Shafek, dia bakal muncul sebagai watak utama, bernama Agus, dalam teater arahan Fasyali Fadzly iaitu Kawan Kawan Yang Kita Suka yang sudah dipentaskan bermula 5 sehingga 9 September lalu di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur.