Bell Ngasri: Amir Raja Lawak Sering Ganggu Saya
Mungkin ramai peminat program Maharaja Lawak tertanya-tanya mengapa Bell Ngasri atau nama sebenar Nasrizal Bin Ngasri kini bergandingan bersama bekas peserta program Raja Lawak musim ketiga, Amir yang popular dengan taglinenya “I’m sorry!”.
Jika dahulu Bell bekerjasama dengan Radhi Khalid untuk Maharaja Lawak Mega, kali ini Bell mengambil pendekatan untuk berganding bahu bersama Amir Raja Lawak sebagai Kumpulan Buaya dalam Maharaja Lawak Mega 2012 yang akan bermula pada bulan November nanti.
“Saya mengambil pendekatan untuk bekerjasama dengan Amir dan membentuk Kumpulan Buaya kerana kami sangat rapat dan sering lepak bersama jika ada masa terluang. Jika dalam bahasa kasarnya, Amir sering mengganggu kehidupan saya yang sememangnya sangat sibuk dengan aktiviti lakonan.
“Sebenarnya idea untuk bergabung dengan Amir bermula apabila saya sendiri merasakan ada beberapa sketsa yang menarik tidak sempat untuk saya persembahkan kepada penonton dan peminat program Maharaja Lawak Mega dahulu.
“Jadi saya dan Amir sepakat mencuba nasib dengan menyertai Maharaja Lawak Mega 2012 sebagai Kumpulan Buaya. Kebetulan Amir sendiri tidak begitu sibuk dengan jadualnya selain saya sendiri mengisi masa lapang yang ada untuk cuba menyampaikan sketsa yang datang dari idea saya sendiri.
“Daripada saya duduk melepak tidak tentu arah dengan Amir, lebih baik kami menyertai Maharaja Lawak Mega 2012 dan mencuba nasib untuk sampai ke senarai akhir yang terpilih,” ujarnya kepada Astro Gempak.
Bell yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri mahupun filem sempat menaruh harapan untuk berada di kelompok tiga teratas sekaligus terpilih ke peringkat seterusnya di Maharaja Lawak Mega 2012.
“Pada mulanya saya dan Amir mengharapkan dengan gabungan kami ini dapat membuka jalan kepada kami untuk ke peringkat yang lebih tinggi, tapi nampak gayanya peluang tersebut agak tipis memandangkan undian yang diterima oleh peminat-peminat agak tipis.
“Saya tidak salahkan peminat-peminat sendiri kerana itu adalah kehendak dan hak individu, tetapi kami amat berharap dapat menyampaikan sketsa-sketsa yang sememangnya menarik untuk ditonton nanti.
“Mungkin target untuk ke peringkat seterusnya agak samar dan sudah mula tidak mengharapkan apa-apa dari pengundi. Tapi apa pun kami cuba sedaya upaya untuk buat yang terbaik untuk menghadapi sesi pemilihan tiga terbaik untuk Maharaja Lawak Mega 2012 dan seterusnya membuat sesuatu yang terbaik, “ katanya mengakhiri perbualan.