“Kalau Aku Kaya,” – Altimet
Setiap manusia di muka bumi ini pasti pernah berimaginasi atau berangan-angan ini menjadi seorang yang kaya-raya dan memiliki apa sahaja yang dihajati. Tidak kira muda atau tua mahupun miskin atau kaya, sifat seperti itu sudah menjadi lumrah kehidupan dalam diri setiap manusia.
Turut tidak terlepas penyanyi yang bernaung di bawah Kartel Records, Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Bin Abdul Rahman. Altimet secara jujurnya mengakui dia seorang yang suka mengimpikan sesuatu perkara yang indah terutamanya ketika kecil. Dari situ dia mula mencipta sebuah lagu berjudul Kalau Aku Kaya yang bakal dilancarkan pada 10 Oktober 2012.
“Tidak salah untuk kita berangan-angan atau berimaginasi perkara yang seronok terutamanya keinginan menjadi seorang yang kaya-raya dan mampu memiliki semua benda di dunia ini. Saya juga tidak terlepas dari sifat seperti itu sehingga terciptanya lagu Kalau Aku Kaya berdasarkan pengalaman yang pernah saya lalui.
Melalui lagu ciptaan terbaru saya ini, diharapkan ia memberi pengajaran serta dorongan berguna kepada kita semua. Ia memberi kekuatan untuk kita terus berusaha bekerja keras untuk mencapai sesuatu yang dihajati, ” ujarnya kepada Astro Gempak.
Sementara itu, Altimet buat pertama kalinya bakal muncul di dalam program bersiri seperti Oh My English!, dimana beliau serta Ila Damiaa dan Point Blanc bergabung untuk cuba memujuk Cikgu Henry Middleton yang mengambil keputusan untuk meninggalkan SMK Ayer Dalam.
“Kami akan bergabung untuk cuba memujuk Cikgu Henry Middleton supaya tidak meninggalkan SMK Ayer Dalam tetapi menariknya dengan gaya dan cara kami sendiri. Ini merupakan kali pertama saya muncul dalam drama bersiri dan begitu teruja untuk bekerjasama dengan pelakon-pelakon Oh My English! yang sememangnya kelakar dan aktif sepanjang masa,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Kepada mereka yang mengikuti program Oh My English, jangan lupa untuk menyaksikan episod akhir Oh My English! yang turut menampilkan Altimet, Ila Damiaa, Point Blanc, Rozita Che Wan dan Tauke Raja Lawak yang turut menjayakan episod yang menyaksikan Cikgu Henry Middleton.
Pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk menonton episod kemuncak Oh My English! Pada 16 September, jam 10 pagi di saluran Astro TVIQ (610) dan siaran ulangan yang akan disiarkan pada hari yang sama jam 2 petang, 6 petang dan 9 malam.