Drama Bersiri Adam & Hawa Mencapai Sasaran!
Sedia maklum drama bersiri hebat yang diadaptasi dari novel asal, Adam & Hawa mendapat sambutan hangat dari pelanggan Astro. Drama yang disiarkan melalui saluran Mustika HD (134) ini mengandungi 80 episod yang ditayangkan setiap hari Isnin hingga Khamis.
Namun ramai peminat mempersoalkan mengapa waktu siaran untuk Adam& Hawa hanya ditayangkan selama 30 minit sahaja berbanding 1 jam yang sudah pasti memberi kepuasan kepada para penonton.
Mengulas lanjut perkara tersebut, menurut Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Encik Nizam Sani, ini kerana mengikut kesesuaian jalan cerita yang diambil dari novel itu sendiri untuk bersiaran selamanya 30 minit. Ditambah dengan proses penyuntingan yang bersesuaian dan reka bentuk definisi tinggi untuk memberi kepuasan kepada para penonton menikmati drama Adam & Hawa.
“Mengapa Adam & Hawa hanya bersiaran selama 30 minit, tidak 1 jam seperti drama-drama yang lain kerana proses penyuntingan yang dijalankan untuk memberi kesan dalam bentuk definisi tinggi (HD). Kami sememangnya inginkan sesuatu yang mampu memberi kepuasan kepada para penonton merasai sendiri pengalaman dan keseronokan menonton Adam & Hawa dalam bentuk definisi tinggi (HD).
“Sebab itu mengapa drama Adam & Hawa ditayangkan di Mustika HD (134), tidak di saluran lain kerana kami percaya drama seperti Adam & Hawa pasti memberi kepuasan serta pengalaman berbeza apabila ditonton menerusi bentuk definisi tinggi (HD) dengan diselitkan jalan ceritanya yang sememangnya menarik dan berkesan,” ujar Encik Nizam Sani kepada Astro Gempak.
Sementara itu menurut Encik Nizam Sani, beliau berasa sangat teruja dan gembira apabila sambutan penonton terhadap drama Adam & Hawa mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini. Malah sambutan penonton serta peminat tidak terhad di kaca tv sahaja, ianya melibatkan laman sosial seperti facebook dan twitter Adam & Hawa.
“Saya sangat bersyukur dengan sambutan yang diberikan oleh penonton serta peminat drama bersiri Adam & Hawa. Ini menunjukkan penonton sememangnya inginkan yang drama yang berkualiti dan terbaik untuk memberi kepuasan kepada mereka ketika menonton. Mereka sendiri ingin merasai pengalaman menonton drama hebat seperti ini dalam bentuk definisi tinggi (HD),” ujarnya mengakhiri perbualan.
Drama bersiri Adam & Hawa akan bersiaran sehingga 80 episod menerusi saluran Mustika HD (134), yang disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam. Kepada pelanggan setia Astro yang terlepas untuk menonton episod-episod sebelum ini, mereka boleh menonton siaran ulangan pada hari Ahad jam 5.30 petang di saluran Mustika HD (134).