Raya Anuar Zain Tidak Pernah Sunyi
Aidilfitri pastinya disambut dengan meriah dan gembira. Namun kadang kala ada juga insan yang bersendirian tanpa keluarga mahupun sanak saudara. Malah bagi sesetengah pihak mereka suka mempersoalkan kehidupan berhari raya bagi insan-insan yang masih belum berumahtangga.
Dengan siapa mereka akan beraya, atau keseorangankah mereka dalam melayari sambutan Aidilfitri. Begitu juga perihalnya penyanyi lelaki popular Anuar Zain. Merupakan satu-satunya anak dalam keluarga Pak Zain yang belum berkahwin, persoalan sebegitu turut pernah diajukan kepadanya.
Namun kata Anuar, belum berkeluarga bukanlah satu masalah besar buat dirinya. Ini kerana sepanjang menyambut Aidilfitri dia dikelilingi ibu bapa, keluarga dan kini lebih meriah apabila anak-anak saudaranya turut bertambah.
"Saya rasa belum berkeluarga bukanlah satu masalah besar kerana saya masih mempunyai ibubapa. Selain mereka, adik beradik saya juga turut sama, sekiranya ada yang pulang ke rumah mertua, masih ada lagi yang beraya bersama kami.
"Malah sekarang kehidupan beraya saya lebih meriah sebab anak-anak saudara makin bertambah. Kini saya sudah ada 10 orang anak buah dan kesemuanya rapat dengan saya. Saya bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini,"katanya mengulas mengenai cerita rayanya.
Meneruskan perbualan kata Anuar, sambutan raya cukup menyeronokkan buat kanak-kanak kerana mereka sentiasa menantikan duit raya daripada orang dewasa. Katanya, dia juga sama seperti insan lain, akan memperuntukkan duit raya buat anak-anak buah tersayang.
"Saya juga turut menyediakan peruntukkan untuk anak-anak buah saya. Maklumlah kanak-kanak cukup gembira apabila menyambut raya tambahan pula apabila menerima duit raya. Jadi bagi saya sebagai orang yang lebih tua dan berkemampuan memang wajar kita menggembirakan mereka," jelasnya yang mengemari kuih tart.
Pelantun lagu Lelaki Ini berkata, sambutan rayanya amat bermakna apabila dia dan sekeluarga bakal beraya di kampung halamannya, Merlimau, Melaka.
"Kali ini kami sambut raya dengan ibu dan bapa saudara yang kebanyakannya berseorangan. Harapan saya semoga kepulangan kami ini dapat menceriakan mereka. Ibu dan ayah pun dapat bersama dengan adik beradik mereka," katanya.